Iklan

Tubuh parti baharu bukan pilihan tepat, kata penganalisis kepada Dr Mahathir

Bernard Saw4 years ago21st Jul 2020Berita
Mahathir mohamad bersatu interview 07
Penganalisis berkata langkah Dr Mahathir Mohamad untuk tubuh parti baharu bagi bersaing dengan Bersatu tidak tepat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 21 Julai, 2020.
Iklan

DR Mahathir Mohamad tidak perlu menubuhkan parti politik baharu untuk mencabar Muhyiddin Yassin bagi menguasai Putrajaya tetapi perlu memberi perhatian kepada kumpulan sivil sebagai pilihan untuk mendapatkan lebih banyak sokongan, kata penganalisis.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, pilihan lain yang bekas perdana menteri itu ada adalah dengan menyertai parti dalam Pakatan Harapan (PH) seperti DAP atau terus menjadi ahli gabungan itu.

Dalam wawancara baru-baru ini dengan sebuah agensi media Hong Kong, Dr Mahathir berkata beliau mungkin mempertimbangkan untuk membentuk parti baharu.

Beliau berkata mereka yang menyokongnya mungkin terpaksa bergerak dengan nama lain, atau mungkin parti politik baharu tetapi situasi tidak stabil ketika ini.

Dalam wawancara berasingan dengan The Malaysian Insight, beliau berkata masih ahli Bersatu walaupun presiden parti Muhyiddin memecatnya bersama empat yang lain kerana duduk bersama blok pembangkang ketika sidang Parlimen pertama.

Dr Mahathir memulakan kempen “Blackout Bersatu” untuk menawan hati akar umbi parti.

Tetapi penganalisis berkata alternatif yang lebih baik adalah dengan beroperasi melalui platform kumpulan masyarakat sivil, atau melalui PH.

Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata sementara kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mengadakan pilihan raya sehingga 2023, Dr Mahathir mungkin terjerat jika beliau membentuk parti baharu dan kemudiannya pilihan raya awal diadakan dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Tidak ada cukup waktu untuk Dr Mahathir membentuk parti baharu untuk bertanding dalam pilihan raya, terutama jika diadakan pilihan raya awal,” katanya.

“Kuncinya adalah sama ada masanya mencukupi.

“Kecuali beliau mahu bergabung dengan parti PH yang lain, seperti DAP, atau beliau tidak perlu bergabung dengan parti anggota PH dan terus menjadi ahli PH,” kata Azizuddin.

Azizuddin menegaskan jika Dr Mahathir membentuk parti baharu, ia akan serupa dengan Bersatu atau Umno, yang mensasarkan pengundi Melayu.

Beliau berkata sudah wujud banyak parti Melayu dengan Umno, PAS, Amanah dan Bersatu, sambil menambah yang pengundi Melayu masih lebih memilih parti Melayu berbanding parti berbilang kaum.

“Rakyat tidak menyokong hanya satu jenis parti politik sahaja, jadi ada baiknya ada parti Melayu lain dalam PH, kerana walaupun mempunyai Amanah, PH masih bergelut untuk menawan pengundi Melayu.”

Yang lebih penting, kata Azizuddin, adalah polisi yang akan dimiliki parti baharu itu.

“Jika beliau membentuk parti politik baharu, beliau masih boleh menarik minat mereka yang setia kepadanya. Masih ada orang menyokongnya, tetapi tiada platform untuk menarik sokongan.

“Beliau tidak mempunyai parti politik dan bukannya sebahagian daripada PH, jadi bagaimana penyokongnya beroperasi?”

Sementara itu, Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata sangat sukar bagi Dr Mahathir untuk memulakan parti baharu jika ingin bersaing dengan Muhyiddin bagi menguasai Bersatu.

“Bagaimana Dr Mahathir akan berjuang untuk mendapatkan Bersatu jika beliau menubuhkan yang baharu?”

Beliau menegaskan, walaupun Dr Mahathir mempunyai pilihan lain; beliau masih perlu membentangkan pendiriannya terlebih dahulu.

“Jika beliau membentuk parti baharu, maka beliau tidak punya alasan untuk bersaing dengan Muhyiddin bagi menguasai Bersatu.”

Dr Mahathir, pengasas bersama Bersatu, hilang keahliannya dalam parti bersama beberapa penyokong kerana menyokong pembangkang. Mereka kini mencabar keputusan ini di mahkamah.

Bersatu, yang dipimpin oleh Muhyiddin, kini bersama pakatan pemerintah dengan sokongan Umno dan PAS, MCA dan MIC serta GPS yang memerintah Sarawak. – 21 Julai, 2020.

Iklan
Iklan