Iklan

Menteri kewangan akui PM beri data kurang tepat

Kamles KumarNoel Achariam4 years ago21st Jul 2020Berita
Muhyiddin yassin 05
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin beri data yang kurang tepat berkenaan bantuan kerajaan yang disebut dalam peruntusan khasnya semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 Julai, 2020.
Iklan

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengakui Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memberi data yang kurang tepat berkenaan bantuan kerajaan yang disebut dalam perutusan khasnya semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Saifuddin Nasution Ismail pada sidang Dewan Rakyat hari ini, apakah Muhyiddin cuba mengelirukan rakyat.

“Dalam keghairahan ini, Dewan ini berhak untuk mengetahui data yang tepat, sebab itu memberi gambaran sebenar. 

“Apakah YB menteri bersetuju untuk angka ini diteliti kerana datang daripada perdana menteri dalam pengumuman semalam,” kata Saifuddin semasa waktu pertanyaan menteri hari ini.

Tengku Zafrul mengakui Muhyiddin tersilap semasa ucapan perutusan khas semalam dan menjangkakan Pejabat Perdana Menteri akan mengeluarkan kenyataan berhubung kesilapan tersebut.

“Mengenai nombor-nombor yang dipetik daripada ucapan YAB perdana menteri, ada nombor yang kurang tepat, jadi saya percaya pembetulan akan diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri.

“Mungkin saya boleh bagi nombor yang betul dalam dewan ini. Inisiatif tunai bagi pemandu teksi, pemandu pelancong dan bas ini semuanya RM110 juta.

“Bagi bayaran tunai one off (sekali beri), RM500 kepada pemandu sepenuh masa e-hailing dan bagi teksi RM600, juga bagi pemandu pelancong dan bas, jumlah pembayaran seperti yang yang berhormat cakap tadi, RM22.7 juta membabitkan 37,100 penerima.

“E-hailing pula RM34 juta untuk 68,300 penerima dan ada lagi yang tunggu bayaran, iaitu seramai 4,800 pemandu teksi kerana mereka baru nak memperbaharui kad pemandu.

“Pemandu bas pelancong, iaitu seramai 31,000 orang pula membabitkan peruntukan RM1.98 juta dan kita jangkakan bayaran untuk 30,000 pemandu bas sekolah akan dibayar pada 14 Ogos ini,” katanya.

Dalam ucapan perutusan khas yang disiarkan secara langsung semalam, MUhyiddin berkata seramai 1.4 juta pemandu e-hailing menerima bantuan tunai sekali beri RM500 dengan jumlah keseluruhan RM34 juta.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata jumlah sebenar pemandu e-hailing yang menerima bantuan itu adalah  68,336 orang membabitkan RM34 juta.

Manakala 37,127 pemandu teksi, pemandu pelancong dan pemandu bas pesiaran telah menerima elaun tunai RM600 dengan jumlah keseluruhan RM22.2 juta.

Bagi bantuan subsidi upah pula, inisiatif ini yang bernilai RM7.4 bilion telah memberi manfaat kepada 313,000 majikan dan 2.5 juta pekerja di seluruh negara, menurut kenyataan itu.

Bekas menteri pengangkutan Anthony Loke semalam antara yang terawal membangkitkan kesilapan data yang diumumkan Muhyiddin semalam.

Melaui Facebook malam tadi, Loke berkata fakta dan data mestilah diberi dengan tepat supaya tidak mengelirukan rakyat. – 21 Julai, 2020.

Iklan
Iklan