Covid-19 suruh pakar kerja, GLC bagi kepada politikus, sindir Dr Mahathir
Iklan
IRONI sungguh apabila profesional diminta menguruskan wabak covid-19, tetapi mengetepikan mereka dari syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memberi penghargaan kepada ahli politik, kata bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Membahasakan titah diraja, pemimpin berusia 95 tahun itu secara sinis mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana tidak menggantikan pakar kesihatan dengan ahli politik.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana mereka menyerahkan usaha memerangi wabak ini kepada golongan professional.
“Saya sedar kerajaan suka menukar golongan professional dengan ahli politik. Ada lebih 30 badan yang diubah untuk memberi lebih banyak wang kepada ahli politik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata usaha mengurangkan wabak di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia dan ditangani dengan baik.
“Dengan ini pandemik dapat ditangani dengan cekap dan kerana itu juga ia dapat dibendung dalam jangka masa singkat dari yang diharapkan,” katanya.
Ahli Parlimen bebas itu juga mendesak kerajaan untuk berhenti menukar ketua GLC kerana pelantikan oleh Pakatan Harapan sebelum ini adalah berdasarkan prestasi.
“Saya harap perubahan golongan profesional dalam pelbagai badan oleh kerajaan ini akan dihentikan kerana kita memerlukan profesional yang dilantik oleh PH kerana mereka mempunyai kemampuan tersendiri,” katanya.
Kerajaan PN telah menukar beberapa golongan profesional penting dalam GLC menggantikannya dengan ahli politik yang diberi penghargaan kerana menyokong PN semasa kejatuhan PH.
Antara yang disingkirkan termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) Jalil Rasheed yang mendakwa dipaksa untuk meletakkan jawatan. – 21 Julai, 2020.