Iklan

Saya dah agak digugur jadi speaker, kata Ariff

Kamles Kumar4 years ago23rd Jul 2020Berita
Mohamad ariff mohamad 22072020 afif 09
Saya bukan bebal, saya sedar petunjuk cuba gugurkan saya dan aura negatif, kata bekas speaker Mohamad Ariff Md Yusof. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 Julai, 2020.
Iklan

MOHAMAD Ariff bin Md Yusof sudah lama menyedari yang kerajaan Perikatan Nasional mahu mengugurkannya sebagai speaker Dewan Rakyat.

Bekas hakim Mahkamah Rayuan itu memberitahu The Malaysian Insight yang memang wujud petunjuk jelas ada usaha mengugurkannya sebagai speaker sebelum sidang Jun bermula lagi.

“Bukan satu kejutan, saya tahu ia akan berlaku. Petunjuknya ada.

“Saya bukannya peguam bebal, saya boleh baca petunjuk yang ada. Ada aura negatif.

“Tetapi, saya masih ada harapan yang rakyat akan nampak ada baiknya tidak tukar speaker,” katanya.

Jelasnya, tidak pernah berlaku di mana-mana negara dalam dunia, pertukaran speaker dibuat sebelum Parlimen dibubar dan Malaysia jadi contoh pertama.

“Speaker hanya boleh digugurkan sebaik sahaja Dewan dibubar. Itu cara sistem berfungsi. Selain Trinidad dan Tobago, tidak ada speaker negara Komanwel yang ditukar,” kata Ariff, menambah yang speaker negara kepulauan Caribbean itu digugurkan kerana berdepan pertuduhan rasuah.

Satu lagi petunjuk, katanya lagi, adalah nasihatnya supaya sesi Parlimen pada Mei dilanjutkan lebih daripada sehari tidak didengar kumpulan eksekutif.

“Jika ketua Dewan (perdana menteri) berpendirian yang kita perlu ada sidang sehari, speaker hanya boleh nasihat, yang saya rasa saya buat, yang sebenarnya kita boleh buat sidang lebih sehari.

“Akhirnya kalau ikut konvensyen, awak (perdana menteri) putuskan,” kata Ariff lagi.

Tak pernah berlaku dalam sejarah negara Komanwel speaker ditukar sebelum Parlimen bubar, kata bekas speaker Mohamad Ariff Md Yusof. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 23 Julai, 2020.

Ketika didesak apakah nasihat yang diberikannya kepada Muhyiddin, Ariff berkata ia sulit tetapi yang boleh didedahkannya adalah nasihat itu tidak didengari.

“Itu (nasihat) saya tak boleh cakap (dedah), tetapi yang jelas saya tidak kata kita hanya boleh bersidang sehari sahaja.”

Beberapa minggu selepas itu, para menteri PN mula mengecamnya di media sosial, mendesaknya supaya berundur.

“Beberapa minggu kemudian, seorang lagi menteri mengulas ‘buat sementara waktu kita akan kekalkan speaker’.

“Saya fikir itu tidak betul.

“Bagaimana boleh eksekutif tentukan terma seperti ‘buat sementara waktu’- hakikatnya ia adalah penghinaan kepada Pejabat Speaker,” tambah Ariff.

Beliau juga merasakan dirinya diserang apabila kumpulan tertentu mengungkit kisahnya sebagai ahli Amanah – beliau keluar parti dan meletak jawatan parti sebelum dilantik sebagai speaker- untuk menggambarkan yang beliau berat sebelah dalam menjalankan tugas sebagai speaker.

Muhyiddin menghantar usul ke Parlimen untuk menukar speaker minggu lepas.

Dalam sesi pengundian sengit, 111 ahli Parlimen menyokong dan 109 membantah usul untuk mengugurkan Ariff dan timbalannya, Nga Kor Ming.

Bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun dilantik jadi speaker Dewan Rakyat baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Julai, 2020.

Ariff berkata beliau membenarkan usul untuk diletakkan dalam Aturan Mesyuarat tetapi bukan bermakna beliau bersetuju.

“Tetapi itu keputusan awak (PN), akhirnya ia dalah keputusan politik awak (PN). Jika awak rasa perlu gugurkan speaker, bagi saya usul yang saya boleh tandatangan serta merta.

“Yang mana mereka buat, dan saya luluskan serta merta. Saya tidak ada masalah dengan itu,” katanya.

Ariff digantikan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun dan Nga digantikan Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said.

Ironinya, Azalina dan Azhar adalah bekas pelajarnya, malah Azhar pernah bekerja di bawahnya dalam sebuah firma guaman satu ketika dahulu.

“Saya doakan yang terbaik untuk mereka. Saya tak boleh doakan bukan-bukan, kan?” katanya.

Ariff dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2008 dan hakim penuh pada 2009. Beliau kemudiannya dilantik menyertai Mahkamah Rayuan pada 2012.

Ketika menjadi hakim mahkamah tinggi, antara kes yang dihakiminya adalah krisis Perlembagaan Perak 2009. Beliau juga adalah hakim yang membatalkan arahan pengharaman dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri ke atas buku terbitan Sister In Islam bertajuk “Muslim Women and the Challenges of Islamic Extremism”.

Walaupun perjalanannya sebagai speaker dicemari titik hitam, Ariff berpandangan ia juga mempunyai hikmah tersendiri.

“Saya tak rasa ia titik hitam. Saya sentiasa berfikiran seperti peguam di kamar mahkamah. Peguam di mahkamah kena tebal kulit (tak tahu malu). Saya fikir mungkin juga kerjaya saya bertambah baik kerana kejadian (gugur speaker) ini,” tambah Ariff. – 23 Julai, 2020.

Iklan
Iklan