Pakatan tergamam dengan usul tukar speaker, kata Ariff
Iklan
PAKATAN Harapan tergamam dan tidak cukup masa menghantar calon speaker Dewan Rakyat pilihan mereka, kata Mohamad Ariff Md Yusof.
Katanya, kerajaan Perikatan Nasional menghantar usul menukar speaker dan calon mereka dalam tempoh 14 hari sebelum Dewan Rakyat bersidang pada 13 Julai.
“Bantahan yang wujud adalah pihak satu lagi (PH) wajar diberikan peluang untuk mencadangkan nama lain dalam tempoh 14 hari.
“Mereka tak dapat hantar nama lain dalam 14 hari kerana kalau ikut perkiraan masa (yang ada), ia mustahil untuk dibuat.
“Bila mereka tahu tentangnya, ia kurang 14 hari, tetapi usul untuk mengugurkan saya dibuat dalam tempoh itu,” kata bekas speaker itu kepada The Malaysian Insight.
Menurut Peraturan Mesyuarat No.4 Dewan Rakyat, mana-mana pihak yang mahu mencadangkan seseorang untuk menjadi speaker perlu menyerahkannya dalam bentuk kertas cadangan bertulis sekurang-kurangnya 14 hari sebelum sidang seterusnya.
Tambah Ariff, beliau tidak akan mencabar penggugurannya di mahkamah, kerana sebab beliau menerima jawatan itu adalah untuk berkhidmat kepada negara.
“Saya pegang prinsip saya, saya ikut peraturan.
“Saya boleh cakap begini kerana saya buat (jadi speaker) untuk berkhidmat kepada negara. Saya tak terhutang budi dengan sesiapa.
“Jadi saya tiada masalah jika awak rasa awak tak perlukan saya lagi untuk berkhidmat kepada negara yang saya buat dengan sukarela. Saya okay sahaja.
“Secara prinsipnya, saya perlu kata, saya tidak ada masalah dengan ini (digugurkan jadi speaker) kerana ini bukan kedudukan yang saya melobi hendak atau perlu pegang,” katanya.
Pada 28 Jun lalu, Ariff mengesahkan kepada media yang beliau menerima usul mencadangkan pengugurannya sebagai speaker. Beliau juga menerima satu usul lain mencadangkan pembatalan khidmat timbalannya, Nga Kor Ming.
PN mencadangkan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Azizan Harun sebagai speaker pilihan pentadbiran baharu.
Dalam sesi pengundian sengit, 111 ahli Parlimen menyokong dan 109 pula membantah usul untuk mengugurkan Ariff dan Nga.
Politikus pembangkang mengecam tindakan itu kerana Azhar dipilih sebagai speaker tanpa usul calon lain daripada mereka.
Perang mulut tercetus dalam Dewan Rakyat apabila pembangkang menjerit “Undi, undi, undi” kepada Azhar, sehingga Khalid Samad (Amanah) diarah keluar dewan.
Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer (DAP) juga mempersoalkan tindakan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang dituduhnya tidak membenarkan pembangkang menghantar calon speaker pilihan mereka. – 23 Julai, 2020.