Iklan

Azwan Ali mahu 'hadiahkan' Selangor kepada Najib

Radzi Razak7 years ago6th Dec 2017Berita
Umno general assembly 061217 tmiseth 05
Azwan Ali dan Jamal Yunos ketika menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-71 di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Disember, 2017.
Iklan

SELEBRITI televisyen Azwan Ali menawarkan diri membantu Umno menjatuhkan abang kandungnya, Menteri Besar Selangor, Azmin Ali pada pilihan raya umum ke-14 nanti sebagai hadiah kepada Presiden Umno Najib Razak.

Tindakan itu sebagai tindak balas ke atas Azmin yang menurut Azwan tidak menghargai jasa beliau mempertahankan abangnya itu selama ini.

Azwan yang sering mencetuskan kontroversi di media sosial hari ini hadir ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), bersama Jamal Md Yunos, pemimpin kontroversi Umno Selangor. 

“Kehadiran saya dibuat atas dasar sebagai hadiah saya untuk Datuk Seri Najib menjelang PRU14.

“Saya mahu ingatkan Azmin jangan ingat saya berpura-pura, jangan ingat saya dapat dedak, barua Umno dibayar juta-juta, tidak.

“Allah yang mengaturkan saya, dah lama saya dendam dengan Azmin tapi dia lupa amanah arwah (bapa) Haji Ali. 

“Kau ingat kau Menteri Besar kau hebatlah, biar aku jatuhkan… menteri lain tak berani jatuhkan, jadi aku jatuhkan,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Umno Selangor di PWTC, hari ini.

Menurut Azwan, beliau menyimpan perasaan selama lima tahun selepas “hilang kerja dengan RTM” kerana menyokong Azmin sebelum ini.

“Saya simpan selama lima tahun. Apa jenis abang kau, menang besar… aku jual maruah aku sebagai artis, aku hilang pekerjaan, RTM hitamkan aku sebab aku datang macam ini berdiri di belakang Azmin Ali sebelum ini,” katanya.

Pengacara televisyen popular itu juga berkata beliau sedia mendedahkan satu persatu rahsia Azmin dalam siri ceramah dengan pemimpin Umno Selangor.

Di media sosial semalam, tersebar sebuah klip video pendek Azwan membuat kenyataan mendakwa beliau ada “sejuta idea untuk menjahanamkan Azmin Ali” di Selangor.

Dalam rakaman video itu, Azwan menyatakan hasrat mahu bertemu dengan pemimpin Umno untuk berbincang mengenai “sejuta idea"nya itu, dan beliau menyebut antaranya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Razali Ibrahim.

“Biar orang kata saya ni barua Umno. Alang-alang, hidup Datuk Seri Najib Razak. Jahanam Azmin,” katanya dalam video berkenaan.

Razali kemudian dipetik oleh Astro Awani menyatakan keterbukaan untuk berjumpa dengan Azwan.

Dalam pada itu, Azwan turut menyokong penuh hasrat Jamal untuk bertanding menentang abangnya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa pada PRU akan datang.

Sementara itu, Jamal berkata Azwan akan jadi perintis kepada ramai lagi warga Selangor untuk kembali menyokong BN pada PRU akan datang.

“Hari ini sebagai satu contoh, ini baru seorang (Azwan Ali)... berjuta-juta lagi orang akan keluar, akan kembali ke pangkuan BN dan beri sokongan kepada BN dan pucuk pimpinan parti Datuk Seri Najib,” kata Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu. – 6 Disember, 2017.

Iklan
Iklan