Filem di media sosial juga perlukan lesen Finas, kata menteri
Iklan
SEMUA pembikin filem, termasuk yang menyiarkannya di platform media sosial, mesti mempunyai Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah kepada Dewan Rakyat.
Ini terpakai kepada media arus perdana dan pengguna media peribadi yang mempamer filem mereka di platform media sosial, katanya semasa sesi Waktu Menyoal Menteri.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Wong Shu Qi (Kluang-PH) mengenai apakah pembikin filem diwajibkan memiliki lesen produksi filem dan SPP tanpa mengira sama ada mereka agensi media arus perdana atau pengguna media peribadi yang menayangkan filem mereka di media sosial atau medium tradisi.
Wong dalam soalan tambahan bertanya apakah lesen itu diperlukan walaupun oleh pengguna TikTok, platform media sosial yang popular, kerana banyak pengguna akan terkesan.
Lesen untuk pengeluaran, pengedaran dan mempamer filem dan video dikeluarkan oleh Finas mengikut Seksyen 22 (1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.
“Pemegang lesen perlu memberitahu perbadanan (Finas) melalui borang selewat-lewatnya tujuh hari sebelum penggambaran filem dimulakan. SPP akan diberikan selepas menerima borang,”katanya.
“Oleh itu, adalah wajib bagi pengeluar filem memohon lesen produksi dan SPP tanpa mengira sama ada mereka agensi media arus perdana atau pengguna media sosial yang menghasilkan filem untuk platform media sosial.”
Memetik Seksyen 2 akta itu, Saifuddin berkata filem cetera, filem pendek, filem subjek pendek, trailer, dokumentari, klip iklan dan sebarang rakaman berhubung sebarang bahan pun, termasuk pita video dan cakera video, imej bergerak, disertai atau tidak disertai dengan suara yang dimaksudkan untuk tontonan umum tergolong dalam kategori filem.
Isu lesen Finas bagi dokumentari dan filem bukan komersial timbul baru-baru ini susulan tindakan tegas terhadap Al Jazeera berhubung dokumentarinya berjudul ” Locked up in Malaysia’s Lockdown”.
Saluran berita antarabangsa itu mendakwa berlaku penganiayaan terhadap pendatang tanpa dokumen semasa perintah kawalan pergerakan bagi mengekang Covid-19.
Bagaimanapun, tidak jelas yang syarat itu juga terpakai untuk semua media, sehinggalah tindakan baru-baru ini terhadap Al Jazeera.
Fahmi Fadzil (Lembah Pantai-PH) dalam soalan tambahan bertanya apakah pembikin video Malaysia’s Coronavirus Incredible Success Story oleh Dr Dustin Pfundheller, yang memaparkan filem itu di saluran YouTube, Other Side of the Truth, memerlukan lesen.
Wawancara dengan Pfundheller, yang videonya membantah fakta dibangkitkan oleh Al Jazeera, juga ditayangkan di Bernama TV.
“Saya menyerahkan perkara ini kepada pihak berwajib dan kami akan mengambil tindakan menurut undang-undang jika ada aduan, bergantung kepada (sifat) kes ini,” jawab Saifuddin.
Bagaimanapun, Fahmi yang tidak berpuas hati sama ada menteri menjawab pertanyaannya, bertanya lagi, “Apakah belia ada atau tidak (memiliki lesen)?”
Ketika Saifuddin mengabaikan pertanyaan itu dan duduk dan Fahmi berkata, “Kalau macam itu, tak adalah”. – 23 Julai, 2020.