Iklan

Umno Selangor akan berdemo depan Istana Ahad ini

Radzi Razak7 years ago6th Dec 2017Berita
Noh omar pc 221114 tmiafifraiezal 02
Noh Omar berkata perhimpunan "Himpunan Rakyat Daulat Tuanku" akan diadakan Ahad depan di Istana Shah Alam. – Gambar The Malaysian Insight, 6 Disember, 2017.
Iklan

UMNO Selangor akan mengadakan “Himpunan Rakyat Daulat Tuanku” untuk mempertahankan Sultan Selangor dan mengutuk tindakan Pakatan Harapan (PH) kerana tidak mempertahankan institusi diraja yang didakwa dihina beberapa pemimpin.

Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar berkata, perhimpunan itu sebagai tindak balas terhadap kenyataan ahli DAP Zaid Ibrahim yang mempertikaikan teguran Sultan Sharafuddin Abdul Aziz ke atas Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas perkara itu, Noh berkata tindakan Zaid itu “mencabar institusi diraja Selangor” melalui kenyataan yang disifatkannya “tidak ada harga diri”.

“Hari ini terbukti kenyataan yang dibuat Zaid bukan saja bodoh, tapi juga bangang dan kurang ajar.

“Kami tak akan berdiam diri. Kami Umno Selangor bersatu padu dan menjunjung DYMM Sultan Selangor. Kita akan buat perhimpunan hari Ahad ini di Shah Alam di hadapan istana. Kita akan minta bangkit seluruh Selangor untuk kita berdiri teguh di belakang Sultan Selangor,” kata beliau dalam sidang media di PWTC hari ini.

Zaid melalui akaun Twitter beliau pada hari Isnin lalu mengulas titah Sultan Sharafuddin yang antara lainnya menegur Mahathir susulan kenyataan bekas perdana menteri itu yang cuba mengaitkan Perdana Menteri Najib Razak dengan keturunan “lanun Bugis”.

Kenyataan Mahathir yang dikeluarkan ketika himpunan “Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” pada Oktober lepas didakwa mencetus kebencian ke atas keturunan Bugis dan menimbulkan kemurkaan baginda.

Menerusi kenyataan di media sosial itu, Zaid pada hari Isnin lalu memberitahu Sultan Sharafuddin supaya lebih berhati-hati dengan kata-kata baginda kerana tiada siapa yang kebal apabila “negara terbakar.”

Dalam pada itu, Noh hadir dalam sidang media hari ini bersama beberapa pemimpin Umno Selangor lain termasuk Ketua Bahagian Umno Sungai Besar, Jamal Md Yunos dan Azwan Ali, adik kepada Azmin Ali, Menteri Besar Selangor.

Bercakap kepada wartawan. Noh seterusnya mengkritik Azmin kerana langsung tidak mengeluarkan kenyataan mempertahankan Sultan ataupun menasihati Mahathir untuk memohon ampun daripada baginda.

“Sepatutnya kerajaan negeri berdiri teguh di belakang sultan. Seperti Azmin. Dia dilantik sultan jadi MB. Bukan dilantik DAP. Sepatutnya kerajaan negeri yang buat usul di DUN tidak benarkan Mahathir beri ceramah di premis kerajaan negeri. Apa yg dibuat kalau Umno nak guna padang dewan kerajaan negeri, dia tak benarkan. 

“Itulah hari ni orang tak hormat Raja. Kalau MB tak hormat Sultan, apatah pula Zaid Ibrahim. Sebab tu saya guna perkataan adik-adik dia (Azmin) sendiri tak hormat dia sebagai menteri besar. Sebagai pemimpin MB kena jelas siapa tuan kita yang melindungi kita Sultan bukan Tun Mahathir atau DAP. Saya kesal ada MB mengambil sikap sambil lewa dalam mempertahankan sultan,” katanya. – 6 Disember, 2017.

Iklan
Iklan