Iklan

Ariff bimbang reformasi Parlimen tidak kesampaian

Kamles Kumar4 years ago24th Jul 2020Berita
Mohamad ariff mohamad 22072020 afif 08
Bekas speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof terkilan kerana misinya untuk membawa pembaharuan kepada Parlimen tidak dapat diteruskan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 24 Julai, 2020.
Iklan

MATLAMAT Mohamad Ariff Md Yusof ketika mula dilantik sebagai speaker Dewan Rakyat sebelum ini adalah untuk memastikan Parlimen bukan lagi ‘rubber stamp’ kepada kerajaan.

Ariff, 71, gembira dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap badan perundangan tertinggi negara itu dengan menjadikannya mudah untuk didekati orang awam.

“Semasa hendak mulakan pembaharuan, Parlimen masih dilihat sebagai ‘rubber stamp’, tetapi persepsi itu berjaya kami ubah.

“Sebab itu sekarang ramai pelawat datang dan mahu belajar mengenai Parlimen,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ariff bagaimanapun terkilan kerana misinya untuk berbakti kepada negara tidak dapat diteruskan disebabkan ketidaktentuan politik.

Bekas hakim Mahkamah Rayuan itu berkata pengenalan kepada sesi Waktu Pertanyaan Menteri juga mendapat sambutan baik sebagai usaha untuk menambah baik Dewan Rakyat.

“Saya mendapat kerjasama yang sangat baik dari menteri (Pakatan Harapan). Ada beberapa pembaharuan yang kami mahu bawa. Sudah tentu pada mulanya mereka keberatan tetapi akhirnya kami berjaya yakinkan mereka.

“Kami berjaya yakinkan Dr Mahathir Mohamad yang ketika itu perdana menteri bahawa pembaharuan ini bagus. Sebab itulah semasa sesi Waktu Pertanyaan Menteri Dr Mahathir akan datang untuk jawab sendiri pertanyaan,” jelas Ariff.

Antara penambahbaikan lain ialah tiada lagi sidang di waktu lewat malam, perubahan waktu pertanyaan dan pembentukan sehingga 10 jawatankuasa pilihan.

Di peringkat antarabangsa pula, Ariff berkata Malaysia dilihat sebagai simbol demokrasi selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Kita mula dilihat sebagai satu kisah kejayaan dan permulaan kepada perkara-perkara positif. Saya tidak boleh tekanan berlebihan kepada diplomasi antara negara,” katanya.

Beliau turut memuji ahli-ahli Parlimen terutamanya yang muda dalam meningkatkan mutu perbahasan dan tidak menggunakan panggilan nama atau perkataan kurang sopan.

“Ada yang mula menunjukkan perlakuan yang baik, memetik angka dan fakta yang perlu dijawab oleh menteri.

“Namun ada juga ahli Parlimen yang selalu buat kecoh dan mengganggu sidang Dewan Rakyat.

“Mereka tidak mahu keluar Dewan atau duduk apabila diarahkan. Mereka tidak ramai tetapi mencetus kekecohan dalam Dewan,” kata Ariff.

Melihat kepada perkembangan sidang Dewan Rakyat sepanjang dua minggu lalu, Ariff bimbang Parlimen akan kembali ke zaman gelapnya seperti semasa di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

“Melihatkan apa yang berlaku sepanjang dua minggu lalu, nampaknya sudah kembali ke perangai lama.”

Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim minggu lalu mengungkap ayat ‘gelap tak nampak’ kepada P Kasthuriraani dari DAP dan menyarankan Ahli Parlimen Batu Kawan itu memakai bedak.

Kenyataan Azeez itu mencetus kekecohan semasa sidang Dewan Rakyat. Sehari kemudian Speaker yang baru dilantik, Azhar Azizan Harun mengarahkan Azeez menarik balik kenyataan dan memohon maaf.  – 24 Julai, 2020.

Iklan
Iklan