Polis jangka siapkan siasatan skandal Dzulkifli minggu ini
Iklan
POLIS dijangka menyiapkan siasatan kes hubungan sulit melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Dzulkifli Ahmad minggu ini, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.
“Kami akan siapkan siasatan minggu ini. Kami harap ia melibatkan semua aspek,” kata Fuzi ketika ditanya sama ada polis sudah memanggil Dzulkifli untuk memberikan keterangan.
Fuzi bagaimanapun enggan mengulas sama ada polis sudah mengenal pasti lelaki dalam klip video yang tular menunjukkan seorang lelaki dan perempuan sedang bercuti di Bali.
Ini adalah kertas siasatan ketiga berkaitan dakwaan Dzulkifli menggoda isteri orang yang akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.
Tiga minggu lalu Fuzi berkata yang polis sudah menghantar kertas siasatan pada 17 dan 30 Oktober tetapi kedua-duanya dikembalikan Jabatan Peguam Negara kepada mereka untuk siasatan lanjut.
Dzulkifli menjadi tumpuan kontroversi selepas beberapa klip videonya tular, mendakwa dia bercuti dengan seorang wanita yang bukan isterinya di Bali.
Polis menyiasatnya di bawah Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana menggoda isteri orang.
Sebuah lagi klip yang tersebar luas mendakwa Dzulkifli menyalah guna dana kerajaan dan memberi amaran kepada Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa supaya tidak mendedahkan skandal itu.
Klip video itu bermula dengan persoalan tentang tindakan Dzulkifli yang dikatakan tidak menghadiri sebuah persidangan di Hong Kong walaupun sudah berada di sana menggunakan tiket penerbangan dibayar kerajaan boleh dianggap kesalahan korupsi.
Klip berdurasi 57 saat di YouTube itu dimuat naik oleh akaun Jejak Dua Belas menunjukkan rakaman video litar tertutup sebuah bilik hotel dengan katil tidak berkemas, mengugut akan mendedahkan keseluruhan video jika siasatan mendalam tidak dilakukan berkaitan dakwaan skandal seks melibatkan ketua agensi pencegahan rasuah negara itu.
Sehingga kini, Dzulkifli masih belum mengesahkan mahupun menafikan yang dia adalah lelaki dalam klip video itu, tetapi ada mengeluarkan kenyataan yang dia tak akan tunduk kepada “taktik kotor” sebegitu.
Klip video itu dimuat naik pihak tidak dikenali sejak Oktober tetapi carian terkini mendapati ia sudah ditarik balik edarannya. – 6 Disember, 2017.