Iklan

Jangan goyang namakan Anwar calon PM, kata PKR

Mohd Farhan DarwisKamles Kumar4 years ago26th Jul 2020Berita
Konvensyen penerangan 260720 tmiseth 06
Kita tidak boleh berganjak dengan janji kita bahawa Anwar akan kita angkat sebagai perdana menteri, kata Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Julai, 2020.
Iklan

PAKATAN Harapan tidak boleh ragu-ragu berganjak daripada persetujuan asal menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri, kata pemimpin PKR.

Bercakap di Konvensyen Penerangan PKR hari ini, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata PKR tidak berganjak dengan persetujuan yang dicapai dengan parti-parti lain dalam PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dan sebelum gabungan itu membentuk kerajaan.

“Dalam program konvensyen ini kita nak tegur rakan komponen kita, jangan goyang dengan pendirian yang telah kita putuskan kepada rakyat.

“Kita tidak boleh berganjak dengan janji kita bahawa Anwar akan kita angkat sebagai perdana menteri.

“Jangan kalut sikit, cadang orang lain,” katanya ketika berucap menyampaikan amanat dalam konvensyen yang berlangsung di sebuah hotel di Ampang, Selangor.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu menjelaskan PH mempertahankan mandat rakyat semasa PRU14 demi mengembalikan segala janji kepada rakyat.

“Dr Mahathir Mohamad (sebagai perdana menteri) dah selesai, sekarang janji Anwar jadi perdana menteri. Yang kita kesal, komponen kita lupa dan goyang dengan pendirian ini,” tambah Shamsul.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dalam ucapannya sebelum itu juga menegaskan pendirian sama apabila berkata PKR sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak asalkan menerima pendirian itu.

“PKR perlu jadi tiang seri dalam PH bersama rakan kita DAP dan Amanah.

“Kita tak tolak siapa nak bersama, asalkan faham PH jelas tentang islah, calon perdana menteri kita tak lain tak bukan Anwar,” katanya.

PKR perlu jadi tiang seri dalam PH bersama rakan kita DAP dan Amanah, kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Julai, 2020.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata pendirian meletakkan Anwar sebagai calon perdana menteri adalah kerana perjuangan yang dilaluinya, dan bukan kerana sosok tubuhnya.

“PH berikan mandat penuh kepada Anwar untuk bertemu, berbincang kembalikan proses mandat rakyat.

“Malah ada kawan-kawan di peringkat akar umbi, mereka ejek. Kita kena faham kenapa asas PKR letak nama Anwar. Bukan kerana sosok tubuhnya, tapi perjuangannya itu,” kata Fahmi.

Pada hujung Jun, Dr Mahathir mengumumkan Amanah dan DAP bersetuju Presiden Parti Warisan Sabah Mohd Shafie Apdal yang juga ketua menteri Sabah dinamakan sebagai calon perdana menteri baharu untuk mengambil alih kerajaan.

Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kemudian menjelaskan cadangan itu adalah “satu opsyen baharu”, yang bagaimanapun harus dipersetujui terlebih dahulu oleh PH.

Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight minggu lalu, Dr Mahathir berkata Lim sebenarnya yang mencadangkan nama Shafie sebagai calon perdana menteri tetapi kemudian menukar pendirian. – 26 Julai, 2020.

Iklan
Iklan