Iklan

Pakatan sedia hadapi PRU15 lebih awal, kata Anwar

Mohd Farhan DarwisKamles Kumar4 years ago26th Jul 2020Berita
Konvensyen penerangan 260720 tmiseth 11
Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata jentera partinya sudah digerakkan untuk menghadapi pilihan raya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Julai, 2020.
Iklan

PAKATAN Harapan (PH) sudah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum lebih awal walaupun berpandangan keadaan semasa tidak sesuai kerana penularan Covid-19 yang masih belum reda, kata pengerusi Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga presiden PKR berkata jentera partinya sudah digerakkan untuk menghadapi pilihan raya.

“Keseluruhan jentera parti di seluruh negara sudah digerakkan untuk menghadapi pilihan raya lebih awal walaupun mandat kita berbaki tiga tahun, kita tidak akan ambil risiko,” katanya dalam sidang media selepas Konvensyen Penerangan PKR di Ampang, Selangor, hari ini.

Anwar yang juga ketua pembangkang di Dewan Rakyat berkata rundingan agihan kerusi antara komponen PH juga sudah bermula.

Katanya, dalam rundingan itu PKR diwakili ketua penerangan Shamsul Iskandar Mohd Akin. 

Menurut Anwar, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sukar bertahan mengharungi pasca pandemik Covid-19 dengan majoriti tipis di Dewan Rakyat.

“Situasi Covid-19 memerlukan satu kerajaan yang kuat dan stabil… bukan kerajaan seperti PN, dan kerajaan yang jelas dasar ekonomi, bila diberi tumpuan (kepada dasar ekonomi dan masalah), kita boleh lakukan program,” katanya.

Beberapa pemimpin Umno antaranya timbalan presiden Mohamad Hassan dan pengerusi jemaah penasihat parti Tengku Razaleigh Hamzah masing-masing sebelum ini menyuarakan pandangan agar pilihan raya disegerakan.

Ia bagi membolehkan kerajaan dibentuk dengan mandat baharu yang lebih kuat untuk menangani krisis ekonomi selepas dunia dilanda wabak Covid-19.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pada Jun mengadakan dua pertemuan berasingan dengan Najib Razak dan Tengku Razaleigh membincangkan persiapan Umno untuk menghadapi PRU15 lebih awal.

Minggu lalu, bekas timbalan menteri kewangan Johari Abdul Ghani juga memberi ingatan kerajaan yang tidak stabil akan menyukarkan Malaysian menarik pelaburan asing, terutama ketika semua negara serantau juga agresif cuba memulihkan ekonomi kesan pandemik Covid-19.

Pada pertengahan bulan lalu, media melaporkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bercadang mengadakan pilihan raya lebih awal tahun ini untuk menamatkan keraguan mengenai mandat pentadbirannya.

Muhyiddin kini mempunyai majoriti tipis lebih dua atau tiga kerusi daripada majoriti mudah 112 di Dewan Rakyat yang mempunyai 222 kerusi. – 26 Julai, 2020.

Iklan
Iklan