Iklan

Pakatan runding dengan Dr Mahathir, elak pecah di PRK Slim

Mohd Farhan DarwisKamles Kumar4 years ago26th Jul 2020Berita
Konvensyen penerangan 260720 tmiseth 15
Pakatan Harapan akan berunding dengan kumpulan Dr Mahathir Mohamad mengenai calon PRK Slim, kata Anwar Ibrahim, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 26 Julai, 2020.
Iklan

PAKATAN Harapan (PH) sedia berunding dengan kumpulan pengerusi Bersatu yang dipertikaikan Dr Mahathir Mohamad mengenai calon dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Slim, kata Pengerusinya Anwar Ibrahim.

Perbincangan itu bagi memastikan pembangkang tidak berpecah dalam pilihan raya kecil yang akan berlangsung pada hujung bulan depan, katanya.

“Oleh kerana Bersatu mahu bertanding di Slim, jadi kita tak mahu ada perpecahan di kalangan pembangkang. 

“Dia (kumpulan Dr Mahathir) tidak dalam PH. Tapi kita tidak mahu bagi alasan kita ambil tindakan tanpa berunding, jadi kita berunding dulu, dan pasukan kita jumpa dengan mereka,” katanya dalam sidang media selepas Konvensyen Penerangan PKR di Ampang, Selangor, hari ini

Hasil rundingan itu jelas Anwar akan dibincang semula pada peringkat pimpinan PH.

“Kita kata kepada pasukan berunding, kalau mereka (kumpulan Dr Mahathir) nak bertanding, kita kena bawa balik ke PH (untuk) keputusan kita,” katanya.

Anwar yang juga presiden PKR berkata PH akan berbincang mengenai PRK DUN Slim dalam mesyuaratnya pada Selasa ini.

Katanya, PKR juga sudah mengenal pasti beberapa calon yang sesuai.

“Ada senarai calon tetapi kita belum buat keputusan,” katanya.

Kelmarin, Setiausaha Agung Bersatu yang dipertikai Marzuki Yahya berkata kumpulan Dr Mahathir, yang sekarang bergerak dengan kempen “Bersatu Blackout” akan meletakkan calon dalam pilihan raya kecil itu untuk melawan Perikatan Nasional.

Beliau mendakwa seorang ahli Majlis Presiden PH sudah memaklumkan gabungan pembangkang tidak akan bertanding di DUN Slim.

Semalam, Anwar menafikan PH menyerahkan kepada kumpulan Dr Mahathir untuk bertanding di Slim.

Kerusi DUN Slim kosong selepas penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib, 59, meninggal dunia pada 15 Julai lalu.

Beliau dilaporkan rebah ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort dan dikejarkan ke Hospital Bentong, Pahang.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-14, ketua Umno Tanjong Malim itu mendapat 8,327 undi dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Bersatu Mohd Amran Ibrahim (6,144) dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal (4,103).

Awal minggu ini, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK DUN Slim akan diadakan pada 29 Ogos selepas penamaan calon pada 15 Ogos.

Ini adalah PRK ke-12 sejak PRU14 pada Mei 2018. – 26 Julai, 2020.

Iklan
Iklan