Iklan

Akar umbi mahu PKR kekal dengan PH dalam PRU15

Kamles KumarMohd Farhan Darwis4 years ago26th Jul 2020Berita
Anwar
Anwar tidak disokong Mahathir sebagai calon perdana menteri dalam pakatan politik Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Julai, 2020.
Iklan

PKR ada harapan lebih cerah melalui kerjasama politik dalam gabungan Pakatan Harapan berbanding bergerak sendiri dalam pilihan raya umum akan datang, kata ahli-ahli parti di peringkat akar umbi.

Mereka berpendapat PKR harus kekal bersama DAP dan Amanah kerana ia mempunyai kepentingan dalam PH.

“PKR boleh buat sebab dalam PRU14 pun mereka (komponen PH) gunakan logo kita. Itu seperti mereka mengundi PKR,” kata Bendahari PKR Cabang Kepong James Yeap, kepada The Malaysian Insight.

Ahli PKR dari Perak, Amir Mokhtar Mior Yahya pula berpendapat kedudukan sedia ada PKR dalam PH akan memberi kelebihan kepada semua komponennya.

“Dengan PH kita yakin boleh menang… lawan tetap lawan, walaupun menang satu kerusi kita tetap menang,” katanya.

Mereka mengulas ura-ura PKT mahu bertanding bersendirian dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dikatakan berkemungkinan besar diadakan tahun ini ketika pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan tipis di Dewan Rakyat.

Idea itu dikatakan timbul ketika PKR merasa dikhianati sekutunya yang memihak kepada kumpulan Dr Mahathir Mohamad dalam isu calon perdana menteri. 

PKR mempertahankan persetujuan yang dicapai sebelum ini iaitu menamakan presidennya Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri selepas Dr Mahathir.

“Anwar pun tiada masalah untuk jadi perdana menteri, tubuh badan masih sihat, yang kita pentingkan idealisme beliau,” tambah Amir Mokhtar, ketika ditemui selepas Konvensyen PKR di Ampang, hari ini.

Hubungan PKR dan sekutunya teruji apabila Amanah dan DAP didakwa mencalonkan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, selepas berlaku pertukaran kerajaan di Putrajaya susulan percaturan politik pada hujung Februari lalu.

Selepas PKR menolak cadangan itu, mesyuarat kumpulan Dr Mahathir bersama Amanah dan DAP bersetuju mengemukakan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri PH Plus.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight baru-baru ini, Dr Mahathir berkata cadangan nama Shaife dikemukakan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Ketua Cabang PKR Ipoh Timor Shaiful Ariffin berkata isu calon perdana menteri blok pembangkang adalah bukti PKR dan PH mementingkan konsep rundingan dalam hubungan mereka.

“Isu calon perdana menteri itu satu proses rundingan. Kita serahkan kepada pimpinan tertinggi. Keputusan dah dibuat… Amanah dan DAP setuju dengan Anwar sebagai calon perdana menteri kita,” katanya.

Anggota akar umbi dari sayap Pemuda PKR bagaimanapun melihat parti itu mampu untuk bergerak sendirian dalam pilihan raya.

Ini kerana konsep keahliannya yang terbuka kepada semua kaum memberikan kelebihan kepada PKR berbanding rakan sekutu PH yang lain, kata Setiausaha Pemuda PKR Cabang Tanjung Piai Mohd Noor Aizat.

“Konsep pelbagai kaum parti ini diterima semua orang, susah untuk mereka (parti lain) tapi tidak sukar bagi kami.

“PKR boleh bertanding di kawasan luar bandar majoriti Melayu dan juga kerusi bandar tetapi parti-parti lain tidak boleh buat macam itu,” katanya.

Amanah dan DAP juga banyak bergantung kepada PKR, tambahnya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Pemuda PKR Cabang Kota Raja Syarik Showkat Ali berkata dalam situasi sekarang, peluang Anwar untuk menjadi perdana menteri lebih tinggi, berbanding sebelum ini.

“Banyak isu waktu zaman PH dahulu, sekarang peluang lebih cerah. Beliau berpendirian, idealismenya mampu memenangi hati rakyat,” katanya. – 26 Julai, 2020.

Iklan
Iklan