Sektor perbankan rugi RM6.4 bilion akibat moratorium, kata menteri
Iklan
SEKTOR perbankan mengalami kerugian berjumlah RM6.4 bilion akibat moratorium selama enam bulan yang akan berakhir September ini, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata bank dianggar mengalami kerugian pengubahsuaian hari pertama Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS 9) sebanyak RM1.06 bilion bagi setiap bulan tempoh moratorium.
“Untuk tempoh enam bulan moratorium diberikan secara keseluruhan, jumlah kerugian dianggar mencecah RM6.4 bilion, bersamaan dengan pengurangan kapasiti bank itu sendiri untuk memberi pinjaman baharu sebanyak RM79 bilion kepada peminjam,” kata Tengku Zafrul pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan dari Lim Guan Eng (Bagan-PH) mengenai kerugian yang dialami sektor bank akibat moratorium pinjaman.
Lim sebelum itu bertanya kepada menteri kewangan sama ada moratorium pinjaman akan dilanjutkan dan jika tidak apakah bentuk bantuan yang akan diberi kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan individu yang mengalami masalah kewangan akibat pandemik Covid-19.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata Malaysia satu-satunya negara yang melaksanakan moratorium secara automatik selama enam bulan bermula April hingga September untuk membantu peminjam dan PKS.
“Sehingga kini lebih 7.7 juta rakyat atau 93% peminjam individu, serta lebih 243,000 perniagaan atau 95% peminjam PKS memanfaatkan moratorium pinjaman.”
Walaupun moratorium tidak meliputi hutang pemegang kad kredit, bank menawarkan penukaran baki tertunggak kad kredit kepada pinjaman berjangka untuk tempoh sehingga tiga tahun dengan kadar faedah lebih rendah daripada kadar kad kredit biasa, tambahnya. – 27 Julai, 2020.