Beri banyak kuasa kepada Jakim ‘sembuhkan’ golongan LGBT, kata ahli Parlimen PAS
Iklan
JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) harus diberi lebih banyak kuasa untuk “menyembuhkan” komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), kata seorang ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata negara ini sedang dilanda “fenomena” LGBT.
“Inisiatif mulia oleh Jakim ini harus diteruskan dan diperbaiki sehinga ramai dapat diselamatkan dan dibawa kembali ke alam semula jadi mereka,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja.
Menurutnya beliau menyokong langkah Putrajaya baru-baru ini untuk memberi Jakim lebih banyak kuasa dalam berurusan dengan komuniti LGBT terutama transgender.
“Saya sokong pendirian Jakim untuk membenarkan penguatkuasaan terhadap golongan transgender. Ini tidak bertujuan menghukum mereka tetapi mengembalikan mereka ke jalan yang benar,” katanya.
Sebagai negara Islam, Malaysia harus mengambil sikap tegas dalam isu ini, kata ahli Parlimen Bachok.
“Walaupun dunia telah tunduk pada tuntutan LGBT, Malaysia harus mencegah semua ideologi dan praktik LGBT memasuki negara ini,” katanya.
Beliau berkata aktivis LGBT adalah halangan terbesar kerajaan.
“Tugas mulia ini dipandang rendah oleh aktivis ini. Mereka pesimis terhadap langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menyelamatkan kumpulan ini.
“Yang mengejutkan ialah mereka benar-benar merasakan ini menyerang privasi (komuniti LGBT) mereka dan menganggu ruang peribadi mereka.
“Aktivis LGBT prejudis terhadap tindakan positif yang diambil oleh kerajaan terutama Jakim,” katanya.
Mempunyai hubungan sesama jenis adalah satu jenayah di Malaysia.
Menurut statistik Kementerian Kesihatan 2013 terdapat kira-kira 173,000 homoseksual di negara ini yang terdiri daripada 2% populasi dengan orang Melayu merangkumi 70 hingga 80% daripada kumpulan itu. – 27 Julai, 2020.