Antara Langkah Sheraton dan Skenario Semut Merah (Bahagian 2)
Iklan
DALAM operasi Semut Merah, beberapa individu dan kelompok strategik juga berjaya ditundukkan. Semuanya di bawah rancangan untuk menciptakan sebuah ketumbukan penentangan terhadap Gus Dur.
Kumpulan penentangan yang disatukan termasuklah dalam kalangan tentera, puak pemisah, media, cendiakawan, ulama, mahasiswa sampailah ke masyarakat awam. Di media, kebencian dibesar-besarkan. Di lapangan, selain demonstrasi berbayar yang tidak henti-henti dianjurkan, di beberapa kawasan, bom turut diledak.
Di belakang aksi-aksi berkenaan ada peranan “daulah terpendam”, atau yang akhir-akhir ini politikus di Malaysia selalu menyebutkannya sebagai “deep state”. Dalam konteks Indonesia era Gus Dur, daulah terpendam antaranya adalah segelintir petinggi Tentera Nasional Indonesia (TNI). Dalam sehari, puluhan bom pernah diletupkan.
Sebagai contoh, pada malam Hari Krismas 2000, lapan bom meledak di Jakarta, Bekasi, Sukabumi, Medan, Batam dan tiga kota yang lain. Operasi pengeboman adalah operasi terancang. Dimulakan pertama kali pada bulan ke-10 Gus Dur menjadi presiden. Tepatnya pada 1 Ogos, 2000. Tarikh yang dipilih, juga “cantik”.
Sasarannya di hadapan bangunan kedutaan Filipina, Jakarta. Dua orang mati.
Ledakan itu selain untuk mewujudkan huru-hara, ia juga bertujuan menarik perhatian masyarakat antarabangsa. Gambaran yang mahu diberikan tidak lain ialah Indonesia kini huru-hara. Mesejnya pula mudah: Gus Dur, sang presiden tidak mampu menjaga negara.
Walaupun Gus Dur buta, tapi dia tidak pekak. Bagi ramai memerhati dan penganalisa politik Indonesia justeru percaya, mustahil bom boleh diperolehi dan diledakkan oleh orang awam. Kerja bom-mengebom tentunya terkait dengan aparat seperti polis dan, lebih-lebih lagi tentera.
Ada dua hal yang membuatkan beberapa jeneral TNI sakit hati. Pertama, ketika Jeneral Wiranto dipecat Gus Dur daripada Kabinet.
Wiranto dikatakan terpalit dengan begitu banyak kes pencabulan hak asasi manusia (HAM) sama ada ketika menghadapi demonstrasi mahasiswa 1998, mahu pun kes-kes penculikan dan pembunuhan di Timur Timor. Wiranto tidak pernah mengaku, tapi lencung di ekor tetap berbau.
Usaha untuk mengekalkan Timor Timur supaya berada di dalam republik Indonesia, telah gagal. Wilayah berkenaan keluar dari Indonesia pada 1999 dan menjadi negara baharu atas muka bumi dengan nama Timor Leste.
Sewaktu Timor Leste berpisah, Gus Dur masih belum jadi presiden. Kehilangan satu lagi wilayah Nusantara itu berlaku pada zaman BJ Habibie, pada waktu Jakarta sama sekali hilang kawalan untuk menjaga kesatuan republik.
Dua lagi wilayah yang kuat bergolak, yang kemudiannya dapat dijaga agar tidak terurai, adalah Acheh dan Irian Jaya. Gus Dur tidak bertindak ke atas kedua wilayah itu dengan mesingan, peluru, bom mahupun aksi culik dan bunuh. Cara-cara sedemikian bukanlah baru dalam pengalaman politik Indonesia.
Strategi sama 1965
Ketika menghadapi tragedi “Lubuk Lubang Buaya” sekitar pertengahan 1960-an, strategi tekanan sama digunakan oleh penguasa Jakarta. Waktu itu, ancaman bagi Indonesia adalah Parti Komunis Indonesia (PKI).
Kita tahu, tragedi Lubuk Lubang Buaya bermula dengan pembunuhan tujuh pegawai tinggi TNI oleh PKI. Sebelum dibunuh, mereka diseksa. Selepas dibunuh, mereka dicampak ke sumur yang dikenali sebagai Lubang Buaya. Tarikh tepatnya 30 September, sehingga peristiwa itu juga diberi nama sebagai “Gerakan 30 September”, atau “G30S”.
Ada sebuah dokumentari bebas arahan pengarah asal Amerika Syarikat, Joshua Oppenheimer yang bertajuk “The Act of Killing” (2012) yang mungkin boleh membawa kita ke era cukup ngeri pembunuhan orang Komunis. Majalah The New Yorker melalui seorang penulis, Jon Emont dalam keluaran 24 Oktober, 2015 melaporkan sehingga 1984, pemerintahan Order Baru Seoharto tidak mengizinkan sebarang filem berkaitan peristiwa G30S.
Budiarsjo, yakni menteri penerangan Seoharto dipetik dalam esei berjudul “The Propaganda Precursor to “The Act of Killing” sebagai pernah berkata, “untuk apa kita mengiklankan perang saudara?”
Balas dendam oleh TNI ialah dengan cara, sesiapa pun yang disyaki Komunis – bahkan yang terkait dengan Komunis – akan diculik dan dibunuh. Di kota Medan, misalnya, antara tempat pembunuhan dilakukan ialah di pejabat surat khabar. Ya, siapa sangka!
Cara pembunuhan juga mudah – mencerut leher mangsa dengan dawai. Ditarik sampai suara mengerang tidak kedengaran lagi, dalam malam. Mayat-mayat dihumban ke sungai, hutan, atau ke mana saja. Tidak kiralah kalau kemudiannya dihurung semut, ditokak gagak atau disiat, digonggong dan dimakan anjing.
Memang banyak pembunuhan tidak dilakukan sendiri oleh aparat, tetapi oleh mata-mata atau orang awam yang “diberi kuasa”. Orang awam itulah yang disebut sebagai “preman” tadi, yang konon ceritanya diambil dari kata Inggeris, “free man”.
Di sana, sasaran kaum tetap wujud. Masyarakat Cina terutamanya, sering menjadi mangsa dengan dituduh sebagai Komunis atau terkait dengan komunis. Dengan disyaki saja, maka sang suami misalnya layak dibunuh, rumah atau kedai mereka layak dibumi-hanguskan sementara anak gadis atau isteri diperbolehkan untuk diperkosa.
Saya secara peribadi, selalu merasakan peristiwa G30S di Indonesia, ada kesan dan pengaruh tersendiri dalam membentuk tragedi selepas 1965 termasuk tragedi 13 Mei, 1969 di Kuala Lumpur.
Sampai hari ini, tiada sesiapa yang pasti angka sebenar mangsa yang terkorban. Ada yang menganggarkan sekitar 3-6 juta jiwa: sebuah angka yang juga dikatakan lebih besar berbanding korban dalam Revolusi Budaya yang dilancarkan Mao Tze Tung di China pada 1966-1976.
Bahkan tidak kalah juga ketimbang peristiwa Holocaust pada era Hitler di Jerman pada 1941-45 yang juga dipercayai mencapai angka sekitar enam juta anak-penak Yahudi yang mati.
Jalan lain Gus Dur
Barangkali dengan mengetahui semua tragedi berdarah di dalam sejarah moden, maka Gus Dur memilih jalan lain. Negara atau penguasa, tidak wajib menjadi brutal meski punya senapang atau penjara. Ada jalan yang lebih manusiawi dan demokratik, meski juga rumit. Gus Dur pun turun dan sentiasa mahu berdialog untuk memberikan keadilan baik kepada Acheh mahu pun Irian Jaya.
Di Irian Jaya misalnya, dibenarkan dua hal yang sebelumnya dilarang sama sekali iaitu mempunyai bendera sendiri dan memakai nama “Papua”. Bagi Gus Dur, bendera Papua seperti yang dituntut tidak lebih hanyalah simbol kebudayaan. Apa yang mustahak, bendera Sang Saka Merah Putih tetap berkibar sebagai panji kesatuan republik.
Bukankah dari sana, kita juga boleh mempelajari demi memelihara persekutuan Malaysia?
Justeru dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, semangat kenegerian muncul secara berlebih-lebihan. Bahkan sudah ada semacam suara pemisah yang terdengar untuk “keluar dari Malaysia”, atau negeri tertentu yang merasakan semacam lebih tinggi kedudukannya berbanding negeri-negeri lain.
Kita juga sudah mulai mendengar suara sindir-menyindir yang berpenghujung kepada kebencian terhadap “Malaya” atau Tanah Melayu – sedangkan kedua-dua nama berkenaan tidak lagi dipakai untuk merujuk sebuah negara yang merdeka. Nama negara ini sekarang hanya satu, dan satu-satunya, yakni Malaysia. Titik!
Kemarahan terhadap Gus Dur juga dilatari bilamana TNI bersama polis diletakkan di bawah satu kementerian yang menjadikan keduanya sama kehormatannya. Tidak ada pasukan keselamatan, kementerian bahkan menteri yang lebih kanan dari kaca mata presiden Gus Dur.
Maka, itulah sebabnya ramai para mantan jeneral sentap dan sangat tidak menyukai Gus Dur, meski pada awal pelantikan, TNI sangat mendukung. Menteri pertahanan yang dilantik juga buat julung kali bukan di kalangan jeneral. Tapi “preman”, iaitu Juwono Sudarsono.
Lebih pedih, Gus Dur menarik kembali pengharaman PKI kerana baginya ia bertentangan dengan perlembagaan. Seraya ditanya, jawab Gus Dur, “dengan TKI sahaja takut…” Saya menduga, TKI dan faham komunis itu perlu didepani—dan tentu sahaja ditolak—dengan hujah dan kesedaran. Bukan dengan kekerasan.
Kata Rizki sendiri, penulis buku “Menjerat Gus Dur”, soal tentera, TKI atau apa sahaja ideologi seperti pruralisme, liberalisme dan lain-lain, semuanya hanya penyebab. Penyebab atas sebab tekad Gus Dur sendiri bukan sahaja mahu melakukan Reformasi, tetapi meletakkan Indonesia kembali di atas tapak Pancasila – undang-undang dasar negara.
Lalu yang dituai adalah risiko. Sementara waktu itu ramai sekali orang yang tidak pasti, apakah seorang pak kiyai yang bernama Gus Dur itu betul-betul faham ertinya menanggung risiko? Ya, untuk apakah dia menerima untuk menjadi presiden, sebelumnya? (bersambung). – 27 Julai, 2020.
* Hasmi Hashim atau Budi Hekayat adalah penulis lirik dan antara pendiri kelompok kebudayaan Jalan Telawi.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.