Gantung dan audit lembaga pengarah Tabung Haji, kata ahli Parlimen Umno
Iklan
AHLI Parlimen Umno mendesak Putrajaya menggantung pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) dengan segera.
Ahli Parlimen Rompin, Hasan Arifin berkata kerajaan harus menggantung lembaga pengarahnya dan menjalankan siasatan menyeluruh kerana institusi itu penting bagi umat Islam.
“Saya mendesak kerajaan menggantung pengurusan tertinggi Tabung Haji hingga penyelesaian muktamad diperolehi.
“Siapa yang betul atau siapa yang salah kerana Tabung Haji penting bagi umat Islam di negara ini,” katanya ketika membahaskan ucapan Agong.
Bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara itu juga meminta audit penuh dilakukan terhadap Tabung Haji dan taklimat kepada ahli Parlimen mengenai kedudukan semasanya.
“Akta Tabung Haji bukan di bawah Bafia. Tabung Haji mempunyai undang-undang sendiri yang kuasa di bawah menteri dan Parlimen,” kata Hasan merujuk kepada Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (Bafia).
Pemuda Umno menghantar memorandum minggu lalu meminta kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat isu melibatkan Tabung Haji. – 27 Julai, 2020.