Adakah Zafrul pertahankan bank berbanding rakyat Malaysia, soal ahli Parlimen DAP
Iklan
SEORANG ahli Parlimen DAP mempersoalkan sama ada Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz lebih berminat untuk menjaga pihak bank berbanding rakyat Malaysia.
Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong berkata bekas CEO CIMB itu perlu ingat beliau sudah menjadi menteri dan bukan lagi pegawai bank.
“Saya tidak bersetuju dengan menteri kewangan. Saya mahu tanya beliau sama ada beliau ambil berat tentang bank atau mahu selamatkan rakyat dan perniagaan yang sedang berdepan kesukaran?
“Beliau nak jaga bank atau rakyat? Menteri kewangan perlu jawab ini,” katanya ketika sesi perbahasan titah diraja.
Khoo berkata demikian mengulas kenyataan Zafrul kepada Dewan Rakyat pagi ini bahawa bank berdepan kerugian RM6.4 bilion selepas moratorium dilaksanakan enam bulan.
Khoo berkata beliau berpengalaman sebagaAFRUi pengurus bank selama 11 tahun, jadi beliau ada pengalaman mengenai bagaimana mereka beroperasi.
Beliau juga berkata bank sebenarnya tidak mengalami kerugian dan moratoriuam hanya penangguhan bayaran pinjaman.
“Moratorium tidak memberi kerugian secara langsung kepada bank. Khidmat pinjaman masih perlu diberikan selepas moratorium tamat. Faedah juga masih perlu dibayar,” kata Khoo.
Khoo mencadangkan agar kerajaan meningkatkan kecairan bank agar mereka boleh berikan lebih banyak pinjaman dan mendapat keuntungan daripadanya.
“Jika ini masalahnya, ada jalan penyelesaian mudah. Tidak bolehkah kerajaan meningkatkan kecairan bank?
“Kurangkan kadar statut bank agar bank mempunyai lebih banyak tunai untuk berikan pinjaman kepada rakyat atau perniagaan,” katanya.
Zafrul sebelum ini juga berkata kemampuan bank untuk memberikan pinjaman berkurang sehingga RM79 bilion.
Moratorium yang dilaksanakan pada Mac adalah untuk membantu rakyat berdepan keadaan ekonomi yang sukar.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan moratorium tidak akan dilanjutkan apabila ia tamat pada September. – 27 Julai, 2020.