Iklan

Bersatu setuju sertai Muakafat Nasional, kata sumber

Mohd Farhan DarwisKamles Kumar4 years ago30th Jul 2020Berita
muafakat nasional tmi
Bersatu memutuskan untuk menyertai Muafakat Nasional dalam mesyuarat majlis tertinggi minggu lalu dan usaha itu dicetuskan presiden parti sendiri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2020.
Iklan

BERSATU bersetuju menyertai kerjasama PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata sumber parti.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, Bersatu memutuskan demikian dalam mesyuarat majlis tertinggi minggu lalu dan usaha itu dicetuskan presiden parti Muhyiddin Yassin.

Satu pengumuman rasmi dijangka dibuat sebelum pilihan raya kecil Slim pada bulan depan.

“Presiden meminta majlis tertinggi meneliti berapa ramai bersetuju dengan langkah itu. Majoriti setuju dan ia diputuskan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Satu lagi sumber Bersatu berkata, langkah itu bukan satu kerjasama rasmi tetapi hanya persetujuan untuk bekerjasama.

Satu lagi sumber menjelaskan ia untuk melicinkan rundingan bagi agihan kerusi majoriti Melayu yang mahu ditandingi setiap parti tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

“Sekarang kita melihat kepada perbincangan mengenai kerusi yang ditandingi tiga parti ini dalam pilihan raya umum lagi,” kata sumber tersebut.

Sumber berkenaan bagaimanapun tidak menyatakan sama ada kesemua parti akan menggunakan lambang masing-masing atau dengan lambang MN.

Terdahulu hari ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu tidak akan menyertai PN.

Bagaimanapun, Umno namun akan tetap menyokong kerajaan yang dibentuk gabungan itu di Putrajaya dan beberapa negeri, katanya.

Menurutnya, Umno tidak menyertai gabungan itu kerana mahu memperkukuhkan kerjasama politik dengan PAS dalam MN dan komponen Barisan Nasional (BN), jelasnya.

Ketika dihubungi, anggota Majlis Tertinggi Umno Razlan Raffi berkata beliau tidak dimaklumkan mengenai usaha digerakkan Bersatu.

Katanya ia mungkin disebabkan Bersatu masih belum memaklumkan keputusan itu secara rasmi kepada Umno dan PAS.

“Mereka mahu sertai kita? Jika betul, kita alu-alukan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pemimpin Umno Wilayah Persekutuan itu bagaimanapun mengingatkan Bersatu supaya berunding dengan munasabah kerana parti itu tidak sekuat Umno dan PAS.

“Kita alu-alukan Bersatu sertai MN. Kita minta agar mereka melihat struktur menang-menang.

“Bersatu tak ramai akar umbi. Kena lihat sudut kekuatan semua pihak. Yang mana besar kena bagi banyak, kecil kena kecil,” kata Razlan.

Anggota Majlis Tertinggi Bersatu Rais Hussin Mohamed Ariff pula berkata parti itu lebih gemar kepada kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) yang kini sedang didaftarkan.

“Pilihan yang digemari adalah PN. Ini adalah gabungan yang dicetuskan Bersatu dan disertai yang lain dan membentuk kerajaan,” katanya.

Pengerusi Malaysia Digital Economy Corporation itu juga berkata agihan kerusi kelak akan dilaksanakan secara adil.

“Rundingan kerusi sentiasa akan menimbulkan cabaran. Ia mencabar bawah Pakatan Harapan (PH). Kita akan kemuka satu bentuk semak dan imbang dalam pakatan sekarang,” kata Rais.
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam bertemu dengan ahli Dewan Rakyat PAS dan Umno di bangunan Parlimen untuk membincangkan masa depan Bersatu.

MN adalah nama kerjasama rasmi Umno dan PAS, yang dimeterai pada pertengahan September 2019, bertujuan memberi tawaran baru kepada Malaysia melalui penyatuan dua parti terbesar Melayu.

Pembentukan kerjasama itu adalah kemuncak beberapa isu yang berbangkit semasa pentadbiran PH, yang dibingkaikan sebagai “kepentingan Melayu dan Islam yang terjejas”.

MN seterusnya bergabung dengan Bersatu untuk membentuk PN dan seterusnya membentuk kerajaan baharu.

Gabungan tersebut disokong MCA, MIC dan gabungan parti kerajaan Sarawak dan parti dari Sabah. – 30 Julai, 2020.
 

Iklan
Iklan