Iklan

Umno bakal adakan himpunan solidariti sokong Palestin

Radzi Razak7 years ago7th Dec 2017Berita
Umno general assembly 071217 tmiseth 06
Presiden Umno Najib Razak (kanan) dan Naib Presiden Ahmad Zahid Hamidi semasa upacara menaikkan bendera parti sempena Perhimpunan Agung Umno ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, hari ini. Zahid memaklumkan parti itu akan mengadakan himpunan solidariti besar-besaran bagi mengutuk tindakan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 7 Disember, 2017.
Iklan

UMNO bakal menganjurkan himpunan solidariti besar-besaran terhadap Palestin bagi mengutuk tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Naib presidennya Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno akan bersama parti di luar Barisan Nasional (BN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain untuk mengadakan himpunan itu dalam masa terdekat selepas perhimpunan agung parti berakhir Sabtu ini.

“Kita akan bekerjasama dengan parti-parti lain di luar Umno/BN dengan NGO mengadakan perhimpunan solidariti bagi mendukung keprihatinan terhadap rakyat Palestin dalam menghadapi cabaran besar ini,” kata beliau dalam sidang media selepas ucapan dasar Presiden Najib Razak pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Dalam ucapannya pagi tadi, Najib berkata Malaysia menolak sekeras-kerasnya cadangan AS untuk menjadikan Baitulmaqdis ibu negara Israel sampai bila-bila.

“Sesunguhnya Umno tidak akan sesekali berkompromi dengan apa jua hal yang melibatkan penghinaan ke atas kesucian dan tingginya agama Islam serta syiar bukan saja di tanah air bahkan di seluruh pelusuk tanah air.

“Makanya saya selaku presiden Umno dan perdana menteri Malaysia mengajak para perwakilan ahli dari dalam dan luar sana serta semua yang berada untuk bangun dan menzahirkan pendirian kita selantang- lantangnya agar dunia mendengar gema suara umat Islam,” katanya.

Penegasan Najib itu disambut laungan takbir sambil mengangkat tangan daripada ribuan perwakilan Umno yang hadir.

Pada masa sama, Zahid memaklumkan beliau dan pempin Umno lain tidak dapat menyertai “himpunan membebaskan Baitulmaqdis” anjuran PAS kerana masih sibuk dengan PAU.

Ia susulan pengumuman PAS pagi tadi untuk berhimpun di hadapan kedutaan AS esok.

Bagaimanapun, beliau berkata Umno menyokong penuh himpunan dan akan “menghantar” beberapa ahli parti memyertainya.

“Ahli Umno yang tidak terlibat secara langsung dalam PAU akan menyertai himpunan itu,” kata beliau.

Pemuda Pakatan Harapan turut mengumumkan akan menghantar memorandum bantahan kepada kedutaan AS esok.

Zahid berkata tindakan AS itu amat berbahaya kerana isu Palestin amat sensitif kepada umat Islam seluruh dunia.

“Saya yakin sesuatu boleh berlaku. Ada kumpulan ekstrem yang akan bertindak balas dengan perkara ini,” kata beliau.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata beliau dan Najib sebelum ini sudah bertemu kepimpinan parti Al-Fatah dan Hamas dari Palestin yang sama-sama menentang cadangan Presiden Donald Trump itu.

“Ia bukan soal Islam sahaja tapi kesejagatan. Apabila negara besar masuk campur dalam sebuah negara yag dinafikan penglibatannya seperti Palestin. Tindakan AS ini merupakan satu campur tangan terhadap Palestin,” katanya. – 7 Disember, 2017.

Iklan
Iklan