Urus niaga 1MDB-IPIC palsu, kata bekas CEO
Iklan
BEKAS CEO 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang urus niaga antara 1MDB dan International Petroleum Investment Co berpengkalan di Abu Dhabi pada 2012 adalah palsu.
Urus niaga tersebut yang melibatkan pembelian aset sektor tenaga untuk 1MDB dibangkitkan hari ini oleh pasukan pembelaan Najib Razak dalam perbicaraan kes 1MDB.
Najib berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mengayakan diri sendiri dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram mencecah RM2.3 bilion dana 1MDB.
Shahrol yang disoal balas oleh peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed, juga ditanya jika urus niaga itu digunakan sebagai alat untuk menggelapkan dana 1MDB dan lembaga pengarahnya.
“Pada mulanya saya tak percaya tetapi bila difikirkan semula, ya,” jawab Shahrol.
Saksi berusia 49 tahun itu menambah yang beliau tidak mengetahui mengenai urus niaga itu kerana beliau menyerahkannya kepada Low Taek Jho (Jho Low), bekas peguam cara 1MDB Jasmine Loo dan bekas ketua pegawai kewangan 1MDB Azmi Tahir untuk mengendalikannya.
“Saya sebahagian daripada 1MDB tetapi secara peribadinya saya tak terlibat dalam persediaan. Saya percayakan profesionalisme mereka untuk buat kerja mereka,” kata Shahrol.
Tambahnya, arahan urus niaga melibatkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan 1MDB hanya bertindak mengikut arahan.
“Ia di peringkat tertinggi, (jurubank) Goldman Sachs berurusan dengan IPIC, saya tak terlibat dengannya, saya tak ada pengetahuan secara langsung.
“Kami hanya ikut arahan. Kami serahkan kepada JPM dan Goldman untuk berunding,” tambahnya lagi.
1MDB membayar AS$577 juta kepada Aabar Investment PJS Limited (Aabar BVI), yang pada mulanya dipercayai anak syarikat IPIC tetapi kemudian didapati syarikat palsu berpengkalan di British Virgin Islands dan didakwa dikawal Jho Low.
Bayaran itu adalah untuk deposit sekuriti bagi bon bernilai AS$1.75 bilion yang diuruskan Goldman Sachs bagi 1MDB membeli aset tenaga, dengan IPIC sebagai penjamin.
Shahrol berkata beliau turut diberi jaminan oleh Low yang wang itu akan dipulangkan kepada 1MDB tetapi ia tidak berlaku.
“Saya hubungi Jho Low dan bertanyakan tentang wang itu. Dia beri jaminan ia hanya deposit dan kami (1MDB) akan dapat duit itu balik,” katanya.
Wan Aizuddin kemudian bertanyakan Shahrol sama ada beliau terlibat dalam “komplot jenayah” bersama-sama Low, Loo, Azmi dan beberapa orang lagi untuk menyeleweng dana 1MDB.
Shahrol menjawab ringkas: “Saya tak setuju”.
Shahrol adalah saksi kesembilan disoal balas.
Hakim Collin Lawrence Sequerah mendengar bicara.
Bagi empat pertuduhan pecah amanah dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit bersalah.
Perbicaraan bersambung esok. – 3 Ogos, 2020.