Iklan

Polis tunggu maklumat 6 rakyat Malaysia bawa dadah di Hong Kong

Yasmin Ramlan7 years ago7th Dec 2017Berita
Fuzi harun igp 111017 tmiseth 03
Kes tersebut masih dikendalikan pihak polis negara itu dan pihak polis Malaysia tidak dibenarkan masuk campur dalam siasatan tersebut memandangkan ia berlaku di Hong Kong, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Disember, 2017.
Iklan

POLIS masih menunggu maklumat lanjut mengenai enam warga Malaysia yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa di Hong Kong yang disyaki menyeludup dadah, kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun.

Kes tersebut masih dikendalikan pihak polis negara itu dan pihak polis Malaysia tidak dibenarkan masuk campur dalam siasatan tersebut memandangkan ia berlaku di Hong Kong, katanya lagi.

“Kami telah menghubungi dengan konsulat kita di sana dan mereka akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada kami. Dan kami juga perlukan kerjasama dari pihak mereka - pihak polis di Hong Kong.

“Jadi kami masih menunggu maklumat lanjut mengenai kes itu. Pada peringkat ini, hanya itu saja yang saya boleh ulas.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia akan membuat permohonan ekstradisi enam rakyatnya daripada pihak berkuasa Hong Kong yang ditahan di lapangan terbang antarabangsa negara itu kerana disyaki menyeludup dadah.

Menteri dalam negeri itu berkata Malaysia mempunyai Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dengan China.  Hong Kong pula adalah wilayah autonomi republik itu, sekaligus memudahkan proses penghantaran pulang enam rakyat Malaysia itu.

Mengulas mengenai sama ada pihak polis akan membuat ekstradisi terhadap enam individu berkenaan selepas kes siasatan selesai dijalankan, Fuzi berkata, “Saya rasa ini memerlukan proses yang panjang. Mungkin selepas mereka dibebaskan kita akan letakkan di bawah LLPK (Akta Dadah Berbahaya - Langkah-langkah Pencegahan Khas), di bawah undang-undang kita untuk mengambil alih kes tersebut kerana kita mungkin perlu kendalikan mereka kemudian.”

Memetik laporan portal berita South China Morning Post, enam rakyat Malaysia ditahan sepasukan pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong selepas disyaki menyeludup dadah jenis ketamin bernilai HK$3.9 juta (RM2 juta) ke negara itu.

Semua warga Malaysia berusia antara 18 dan 28 tahun itu ditahan ketika sesi pemeriksaan kastam sebaik tiba dari Kuala Lumpur. – 7 Disember, 2017.
 

Iklan
Iklan