Iklan

Politik bangau oh bangau

The Malaysian Insight7 years ago7th Dec 2017Editorial
Umno general assembly 71st tminazir 07
Politik Malaysia asasnya adalah sikap salahkan orang lain, sesuatu yang tak menghairankan karung tinju pihak disalahkan itu selalu bertukar. Kali ini giliran Dr Mahathir Mohamad. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 Disember, 2017.
Iklan

SUSAH hendak meletakkan beban pada Presiden Umno Najib Razak kerana menyalahkan bekas mentornya, Dr Mahathir Mohamad yang katanya sudah melampaui batas dan bertanggungjawab atas semua kerosakan yang ada di Malaysia.

Kenapa?

Kerana kita semua buat silap mencari salah orang lain atau menyalahkan sesuatu yang lain. Cuba fikirkan.

Kita salahkan birokrasi apabila terlibat dalam rasuah.

Kita salahkan “sistem” apabila kita cari alasan untuk tidak keluar mengundi.

Kita salahkan pemandu lain apabila menukar lorong dengan cuai.

Kita salahkan guru malah kementerian pendidikan kerana tidak dapat keputusan yang cemerlang.

Kita memang cukup pandai menyalahkan orang. Menyalahkan orang ini kerja senang berbanding angkat tangan dan mengaku kesilapan atau kekurangan sendiri.

Lebih senang memindahkan salah pada seseorang atau sesebuah kumpulan berbanding hendak berbincang dengan serius dan jujur tentang kenapa kita tidak berjaya; kenapa kos sara hidup memuncak; apa yang merunsingkan Malaysia, dan sebagainya.

Dr Mahathir Mohamad menggunakan strategi itu ketika krisis kewangan Asia pada 1997. Beliau menyalahkan George Soros dan spekulator mata wang kerana menyebabkan nilai ringgit susut dan sistem kewangan rosak.

Beliau buat begitu kerana pilihan yang satu lagi tidak sesuai. Pilihannya ialah menerima bahawa sistem itu yang berlebihan dan lewah menjadikannya lemah. Kelewahan itu berpunca daripada dasar-dasar kerajaan.

Soros dan spekulator mata wang jadi karung tinju pada Perhimpunan Agung Umno 1998. Ingat lagikah bagaimana popularnya ketika itu ayat “semua orang cemburu akan kejayaan kita”.

Hari ini dan beberapa hari akan datang, Najib dan ahli-ahli Umno akan menjadikan Dr Mahathir sebagai karung tinju. Beliau akan dipersalahkan atas segala-galanya. Barangkali pemimpin DAP juga kerana mereka dilihat sebagai dalang kepada Amanah dan Bersatu.

Jangan salahkah Najib atau Umno kerana memilih jalan ini. Ini jalan yang mudah dan wajar daripada segi politik iaitu menyalahkan orang lain dan memomokkannya.

Elak. Cari salah. Salahkan orang lain. – 7 Disember, 2017.

Iklan
Iklan