Iklan

Najib tak diberi amaran mengenai ‘Aabar palsu’, kata bekas CEO 1MDB

Kamles Kumar4 years ago4th Aug 2020Berita
Najib razak corruption 1mdb trial high court 01
Najib Razak tidak diberitahu mengenai sebarang keraguan perjanjian dengan Aabar Investment PJS Limited (Aabar BVI) berkenaan projek Tun Razak Exchange (TRX). – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 4 Ogos, 2020.
Iklan

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Shahrol Azrai Ibrahim Halmi memberi keterangan hari ini bahawa Najib Razak tidak diberitahu mengenai sebarang keraguan perjanjian dengan Aabar Investment PJS Limited (Aabar BVI) berkenaan projek Tun Razak Exchange (TRX).

Shahrol berkata dia tidak memberi penerangan kepada Najib atau Kementerian Kewangan sebelum ahli Parlimen Pekan itu menandatangani beberapa dokumen yang mengikat perjanjian itu.

Ini dibangkitkan oleh peguam bela hari ini dalam perbicaraan 1MDB Najib melibatkan RM2.3 bilion yang mana bekas perdana menteri itu berdepan empat tuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Shahrol disoal jawab oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohamad mengenai pembelian TRX. 

Aizuddin: Tetapi anda sebagai CEO, anda tidak memberi penerangan kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) atau Najib sebagai menteri kewangan?

Shahrol: Ya, betul.

Aizuddin: Adakah anda tahu yang dokumen ini ditunjukkan kepada Najib atau tidak?

Shahrol: Saya tidak mempunyai pengetahuan langsung.

Shahrol berkata Najib tidak pernah menyuarakan apa-apa komen mengenai perjanjian itu dan terus menandatanginya.

Aizuddin: Anda tidak pernah berjumpa Najib atau menjelaskan tentang usahasama itu tetapi anda menganggapnya kerana dia tidak ada komen, ia diterima?

Shahrol: Saya ada banyak mesyuarat dengannya selepas itu tetapi tidak pernah dibangkitkan olehnya atau oleh saya.

Shahrol berkata usahasama itu akan membolehkan Aabar BVI mengumpulkan dana sebanyak RM1.4 bilion dan 1MDB akan memberikannya hak pembangunan untuk melaksanakan projek TRX. – 4 Ogos, 2020.

Iklan
Iklan