Iklan

Najib tentukan pengganti saya, kata bekas CEO 1MDB

Kamles Kumar4 years ago6th Aug 2020Berita
1mdb 060820 tmiseth 01
Bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi tiba di Kompeks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Ogos, 2020.
Iklan

BEKAS perdana menteri Najib Razak meluluskan pelantikan Mohd Hazem Abdul Rahman sebagai pengarah eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), bagi menggantikan Shahrol Azral Ibrahim Halmi sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO), Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Shahrol berkata demikian semasa soal balas oleh peguam Najib, Wan Aizuddin Wan Mohamad, dalam perbicaraan rasuah.

Beliau juga berkata Najib bertindak atas nasihat ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, yang menyokong pelantikan Hazem pada Mac 2013.

Wan Aizuddin: Sebelum kita teruskan, siapa yang mencalonkan Hazem untuk dilantik sebagai CEO 1MDB?

Shahrol: Namanya datang kepada saya melalui Jho Low. Beliau memberikan CV. Beliau menyebut ia dicadangkan oleh Azlin.

Shahrol merujuk kepada Allahyarham Azlin Alias, bekas ketua setiausaha peribadi Najib dan pengarah ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, yang mengawasi hal elwah berkaitan 1MDB.

Shahrol menambah ketika CV diserahkan kepadanya, ia termasuklah “catatan” daripada Najib yang mencadangkan Hazem dilantik sebagai pengarah eksekutif 1MDB.

“CV tersebut termasuk catatan oleh Najib yang menyatakan ‘Hazem akan dilantik sebagai pengarah eksekutif’. Saya menjelaskan tiada jawatan pengarah eksekutif dan mencadangkan jawatan ketua pegawai operasi.

“Ketika Hazem masuk, beliu pada mulanya dilantik sebagai ketua pegawai operasi (COO), saya memberinya tanggungjawab mengenai urusan hartanah dan saya fokus kepada aset tenaga,” kata Shahrol. 

Wan Aizuddin: Adakah pelantikannya itu disahkan oleh lembaga pengarah?

Shahrol: Kami membincangkan pelantikan Hazem dan ada surat daripada Najib yang meluluskan pelantikan tersebut.

Wan Aizuddin sekali lagi mendesak Shahrol jika memperdayakan kerajaan Malaysia untuk melantik Hazem agar terus menggelapkan wang daripada 1MDB.

“Tidak setuju, saya tidak mengetahui perkara ini,” kata Shahrol.

Shahrol adalah CEO 1MDB dari 2009 hingga Mac 2013 dan digantikan oleh Hazem yang berkhidmat dari Mac 2013 hingga Januari 2015.

Shahrol kemudian dipindahkan ke Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).

Hazem terus menggantikan Shahrol sebagai CEO 1MDB dan mengawasi urus niaga antara 1MDB dan Aabar Investments PJS Limited (Aabar BVI) berkaitan Tun Razak Exchange.

Hazem juga terlibat dalam pengumpulan bon AS $ 3 bilion yang diperlukan untuk membiayai projek ini. – 6 Ogos, 2020.

Iklan
Iklan