Iklan

Guan Eng, isteri, kontraktor dijangka ke mahkamah Selasa

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago7th Aug 2020Berita
Betty chew  full
Betty Chew, isteri Lim Guan Eng dijangka dihadapkan ke mahkamah pada Selasa. – Gambar Facebook, 7 Ogos, 2020.
Iklan

ISTERI Lim Guan Eng dan seorang kontraktor, Phang Li Koon dijangka akan dituduh ke mahkamah sekali lagi pada minggu depan bagi kes pembelian banglo melibatkan pasangan itu.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan isteri Lim, Betty Chew Gek Cheng akan didakwa mengikut akta pengubahan wang haram.

Kontraktor tersebut pula dijangka akan dituduh semula mengikut akta pencegahan rasuah, kata sumber kepada The Malaysian Insight.

“Phang akan didakwa mengikut Seksyen 28 (1) Akta SPRM 2009 atas kesalahan bersubahat.

“Pertuduhan Betty (Chew) pula akan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(a) AMLATFPUAA 2001 dan 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001,” katanya.

Lim yang awal hari ini dihadapkan ke mahkamah di Kuala Lumpur, sudah disahkan SPRM akan didakwa di Pulau Pinang pula pada Isnin dan Selasa, depan. 

Pada Isnin, Lim berdepan pertuduhan berkaitan projek terowong dasar laut mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009. Bagaimanapun, pertuduhan pada Selasa di bawah akta sama tidak dijelaskan berkaitan dengan kes mana. 

Peguam Chew, Lee Khai turut mengesahkan bekas Adun Kota Laksamana itu dijangka dihadapkan ke mahkamah pada hari Selasa.

Katanya, tuduhan tersebut tiada kaitan dengan pendakwaan ke atas Lim hari ini bagi tuduhan meminta suapan. 

Lee juga turut mengesahkan Chew dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 dan dilepaskan dari tahanan SPRM petang tadi. 

Sumber SPRM mengesahkan kes melibatkan Chew berkaitan perbicaraan kes pembelian rumah banglo dihadapi Lim pada tahun 2016 yang disiasat semula.

Menurutnya, ia turut berkaitan dengan sebuah syarikat pengurusan hartanah, Excel Property Management and Consultancy.

Sumber turut mengesahkan Phang, yang ditangkap semalam dilepaskan dari tahanan SPRM petang ini.

Phang dituduh bersama Lim pada Jun 2016 berkaitan kes rasuah dalam pembelian banglo di Jalan Pinhorn, Pulau Pinang. 

Banglo itu didakwa dibeli pada harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran sewaktu Lim menjadi ketua menteri Pulau Pinang pada 2015.

Selepas perbicaraan berakhir, kedua-duanya kemudian dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tuduhan pada September 2018.

Terdahulu, Lim hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi tuduhan meminta rasuah sebanyak 10% daripada keuntungan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang.

Menurut pendakwaan, Lim melakukan kesalahan itu pada Mac 2011 ketika menjawat jawatan sebagai ketua menteri Pulau Pinang.

Lim didakwa mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. – 7 Ogos, 2020

Iklan
Iklan