Iklan

Guan Eng boleh saman, kata SPRM

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago8th Aug 2020Berita
Azam baki
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menjelaskan prosedur yang sama digunakan dalam penahanan semua individu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2020
Iklan

AGENSI antirasuah menangkis dakwaan Lim Guan Eng bahawa badan itu bertindak pilih kasih ketika menahan bekas menteri kewangan tersebut untuk siasatan kes rasuah.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki menjelaskan, prosedur sama digunakan dalam penahanan semua individu.

Layanan itu sama termasuk semasa penahanan bekas perdana menteri Najib Razak dan beberapa pemimpin lain sebelum ini, katanya kepada The Malaysian Insight.

“Lim bukannya pemimpin atau ahli politik pertama yang pernah ditangkap dan ditahan semalaman oleh kami.

“Tidak timbul isu pilih kasih di sini, semua tidur di lokap yang sama dan tidak timbul isu ‘bernasib baik’ bagi sesiapapun.

“Jika ada mana-mana pihak yang rasa tidak puas hati, saya persilakan buat aduan atau bawa ke mahkamah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, penyiasat cukup bertimbang rasa dalam isu penangkapan dan penahanan Lim malah memberi peluang kepadanya untuk menghadiri sidang parlimen sebelum ke pejabat SPRM.

“Beliau sepatutnya hadir jam 3 petang tetapi pegawai penyiasat menghormati Lim dan benarkan dia habiskan sesi Parlimen dan datang selepas itu.

“Keputusan untuk menangkap seseorang suspek bergantung pada budi bicara pegawai penyiasat dan diperuntukkan di bawah undang-undang,” katanya.

Beliau mengulas dakwaan Lim semalam yang mendakwa SPRM pilih kasih kerana membiarkannya tidur di atas lantai papan di dalam lokap.

Setiausaha Agung DAP itu juga mendakwa beliau “tidak bernasib baik seperti menteri kewangan sebelumnya” iaitu Najib Razak, yang ditahan untuk siasatan kes 1MDB dan SRC International.

“Saya terpaksa tukar pakaian kepada baju oren lokap SPRM, mengharungi tidur malam beralaskan lantai papan di bilik lokap yang sempit (tanpa bantal mahupun tilam).

“Dan tidak bernasib baik seperti menteri kewangan sebelum saya yang tidak perlu bermalam walau satu malam pun di lokap.

“Sama ada ini satu bentuk pilih kasih atau tidak, hanya SPRM yang boleh menjawabnya,” katanya.

Lim ditahan semalaman sebelum didakwa semalam tuduhan meminta rasuah berupa 10 peratus daripada keuntungan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang.

Menurut pendakwaan, Lim melakukan kesalahan itu pada Mac 2011 ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang.

Lim didakwa mengikut Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Beliau dijangka didakwa sekali lagi minggu depan untuk kes pembelian banglo bersama isterinya Betty Chew Gek Cheng dan seorang ahli perniagaan Phang Li Koon.

Lim dan Phang sudahpun didakwa berhubung kes sama pada 2016 melibatkan pembelian banglo RM2.8 juta itu dan kedua-dua dilepaskan tanpa dibebaskan dari tuduhan pada 2018. – 8 Ogos, 2020

Iklan
Iklan