Iklan

SPRM sekali lagi tegaskan tidak pilih bulu kes Guan Eng

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago11th Aug 2020Berita
Lim guan eng file pic
Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng hari ini sekali lagi membidas SPRM yang didakwa bersikap tidak sama rata terhadap beliau berbanding layanan yang katanya diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Ogos, 2020.
Iklan

AGENSI anti rasuah tidak pernah bersikap pilih bulu dalam siasatannya terhadap bekas menteri kewangan Lim Guan Eng, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Katanya, suruhanjaya itu telus dan profesional dalam menjalankan tugas dan tidak menyerang sesiapa secara peribadi.

“Saya dah cakap banyak kali cakap bahawa kami tidak ada berat sebelah kepada mana-mana pihak atau serang secara peribadi,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.

Beliau ditemui selepas merasmikan pelancaran Program SPRM PUBG Mobile i-Challenge.

Lim yang juga setiausaha agung DAP hari ini dalam satu kenyataan sekali lagi membidas SPRM yang didakwa bersikap tidak sama rata terhadap beliau berbanding layanan yang katanya diberikan kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

“Saya cuma mempersoalkan SPRM mengapa menteri kewangan sebelum saya tidak menerima layanan seperti saya; tidur di dalam lokap berlantaikan papan tanpa tilam dan bantal selain memakai t-shirt lokap SPRM berwarna oren,” kata Lim.

Menjawab kenyataan Lim, Azam berkata isu baju lokap itu perkara lama.

“Penggunaan baju lokap adalah budi bicara pegawai penjaga lokap dan pegawai penyiasat. 

“Saya telah katakan banyak kali itu terpulang kepada kuasa budi bicara pegawai penyiasat,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu awal hari ini didakwa menyalahguna kuasa ketika menjadi ketua menteri Pulau Pinang dan pengerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang untuk menerima suapan antara Ogos 2013 dan Mac 2016.

Lim didakwa bersama-sama isterinya, Betty Chew dan ahli perniagaan Phang Li Koon di Mahkamah Sesyen Butterworth, yang mana kesemua mereka mengaku tidak bersalah.

Beliau didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu ketua menteri dan pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Betty Chew melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Semalam, Lim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth untuk pertuduhan menerima suapan RM3.3 juta bagi penganugerahan projek terowong dasar laut Pulau Pinang bernilai RM6.34 bilion kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

Jumaat lepas pula, Lim juga mengaku tidak bersalah di Kuala Lumpur atas pertuduhan meminta 10% suapan daripada keuntungan projek terowong dasar laut dan lebuh raya bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang.  – 11 Ogos, 2020.

Iklan
Iklan