Tuduh polis tidak solat, Asri Janggut disiasat hina anggota keselamatan
Iklan
POLIS membuka dua kertas siasatan terhadap Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut selepas pengasas Hot Burger Malaysia itu membuat kenyataan mendakwa kebanyakan anggota polis dan tentera tidak menjaga solat, dan kerana itu moral mereka rendah.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata Asri disiasat susulan laporan terhadapnya yang didakwa menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Kertas siasatan itu dibuka susulan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Travers dan Balai Polis Jalan Tun Razak, hari ini,” katanya ketika dihubungi oleh The Malaysian Insight.
Asri jadi perhatian sejak Sabtu lalu selepas mendakwa pihak berkuasa memejam sebelah mata terhadap kegiatan judi haram dan penjualan rokok seludup di sekitar Sungai Buloh.
Ketua Balai Polis Daerah Sungai Buloh Shafa’aton Abu Bakar kemudian membuat aduan mendakwa pendedahan berunsur fitnah dan merosakkan wibawa pasukan polis.
Pendedahan Asri bagaimanapun mendapat perhatian Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin yang memanggil untuk penjelasan lanjut. Hamzah juga meninjau lokasi kejadian seperti didakwa pada Isnin.
Jelas Mior, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang mendatangkan khianat awam dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Katanya, Asri akan dipanggil untuk diambil keterangannya dalam masa terdekat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ.
“Kita akan panggil dia dalam minggu ini,” katanya.
Dalam satu rakaman temubual semalam, Asri berkata masalah moral dalam kalangan anggota keselamatan ialah kerana mereka tidak menjaga solat.
“Hisap rokok, tak jaga sembahyang. Cuba tanya anggota polis, subuh sembahyang tak?
“Bila last (kali terakhir) bawa isteri sembahyang subuh?
“Pernah tak tanya anak apa itu syahadah? Bermakna sebenarnya segala kuncinya,” katanya.
Dalam reaksinya, Abdul Hamid menyifatkan tuduhan Asri sebagai keterlaluan dan tidak patut disuarakan dalam khalayak umum.
“Ini (solat) soal kita dengan Tuhan dan PDRM tidak pernah ketepikan. Didikan moral dan agama sentiasa disemarakkan dalam pasukan.
“Orang kena tahu yang PDRM juga ada hafiz dan setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negara mempunyai surau,” katanya selepas satu majlis di Bukit Aman, hari ini.
Sementara itu, melalui satu hantaran di Facebook, Asri memohon maaf kerana keterlanjurannya.
“Saya akui kelemahan, keterlanjuran, kejahilan saya. Saya merasa amat- amat menyesal, malu, bersalah atas perkara tersebut.
“Saya ingin memohon jutaan maaf atas kejahilan saya,” tulisnya. – 12 Ogos, 2020.