Iklan

Lagi penguatkuasa MBSA kena reman kes makan suap

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago13th Aug 2020Berita
Court signpost  full
Iklan

SEORANG lagi anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman membantu siasatan kes menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh, Selangor.

Majistret Putrajaya Shah Wira Abdul Halim membenarkan agensi antirasuah menahan reman penolong pegawai penguatkuasa itu selama tujuh hari.

Menurut sumber, lelaki 38 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya kira-kira 9.30 malam tadi selepas hadir memberi keterangan.

Lelaki itu merupakan individu keenam yang ditahan sejak kes melindungi premis perniagaan haram itu didedahkan seorang peniaga burger minggu lalu.

Peniaga itu mendakwa, rasuah itu membolehkan pendatang asing bebas membuka gerai secara haram menjual rokok seludup, sedangkan gerai burgernya dirobohkan penguatkuasa.

Menurut agensi antirasuah, anggota penguatkuasa MBSA yang disiasat dalam kes berkenaan didapati mengutup antara RM300 hingga RM3,500 sebulan untuk melindungi perniagaan haram.

Peniaga burger tersebut juga mendakwa terdapat kegiatan judi haram di kawasan tersebut. Tuduhan itu bagaimanapun dinafikan polis. – 13 Ogos, 2020.

Iklan
Iklan