Hamid Bador sedia jumpa empat mata Indira Gandhi
Iklan
KETUA Polis Negara Abdul Hamid Bador sedia untuk berjumpa M Indira Gandhi pada bila-bila masa, namun menegaskan ia tidak perlu membabitkan pihak ketiga.
Katanya, pertemuan itu seharusnya hanya antara beliau dan Indira, ketika ibu itu sehingga ini masih lagi menunggu keadilan selepas anak bungsunya dilarikan suami.
“Pintu pejabat sentiasa terbuka untuknya namun saya tidak mahu pihak ketiga hadir sekali,” katanya pada sidang media di Maktab Polis Diraja Malaysia di Cheras, hari ini.
Jelas Hamid, kes ini adalah hal peribadi Indira dan kes polis, jadi beliau bersedia untuk memberi penjelasan kepada wanita itu secara peribadi.
“Saya tidak mahu nak ia dipolitikkan dan akan merumitkan usaha polis kelak.
“Usaha diteruskan untuk memujuk suami Indira. Perkataan ‘pujuk lelaki itu’ menunjukkan kita sentiasa berusaha dalam kes ini,” katanya.
Indira sebelum ini mempertikaikan kenapa beliau tidak diendahkan oleh ketua polis yang berjanji akan menyatukannya kembali dengan anak bongsunya itu.
Anaknya yang ketika itu berumur 11 tahun dilarikan bekas suaminya selepas bertukar agama masuk Islam pada 2009.
Lelaki itu Muhammad Riduan Abdullah juga menukar paksa agama anak mereka, namun tindakan itu dibatalkan oleh mahkamah.
Pada Januari lalu, Hamid menjanjikan “akhir yang bahagia” kepada Indira.
Katanya, polis tahu di mana bapa dan anak itu berada dan menggesa supaya mereka tampil supaya masalah itu dapat diselesaikan dengan baik.
Janji itu dibuat pada Januari tahun ini tetapi hingga sekarang, cubaan Indira untuk bertemu Hamid untuk mendapatkan perkembangan terkini, tidak dilayan.
Menurut Hamid, pihak polis mampu mengesan dan mengikut setiap pergerakan bekas suami Indira, tidak kira di dalam atau luar negara.
“Sejauh mana dia boleh pergi? Filipina, Thailand, India, Pakistan?
“Saya rasa pegawai saya sentiasa berkomunikasi dengannya dengan bantuan pihak ketiga, seorang ahli politik kanan.
“Saya sentiasa positif, cuma masa akan menentukannya, saya tidak mampu isytihar atau umum sekarang,” katanya. – 13 Ogos, 2020.