Polis panggil individu terbabit temubual Asri Janggut
Iklan
POLIS akan memanggil kesemua individu yang terbabit dalam temubual dihadiri Mohd Asri Hamid, 42, atau Asri Janggut untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, individu dimaksudkan adalah mereka yang ditemubual, penganjur dan penghasil kedua-dua video.
“Kesemua mereka akan dipanggil dalam tempoh terdekat untuk diambil keterangan.
“Polis Diraja Malaysia menegaskan tindakan dilaksanakan adalah berlandaskan undang-undang. Tiada individu atau entiti yang akan terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang jika jelas mencabuli undang-undang yang berkuatkuasa di Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di Maktab PDRM, Cheras, hari ini.
Peniaga burger itu mencetuskan perdebatan hangat di media sosial apabila mendakwa kebanyakan polis dan tentera tidak menjaga solat.
Dakwaan yang dibuatnya itu tular di media sosial dan dikecam pengguna Internet.
Asri dalam video itu mendakwa kebanyakan yang menyertai polis dan tentera tidak menjaga solat.
Huzir berkata, polis membuka tiga kertas siasatan mengikut Seksyen 505 (b) dan 505 (c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
Beliau menggesa orang ramai agar tidak membuat, menerbitkan atau mengedar kenyataan, khabar angin serta berita yang mempunyai kecenderungan mencetuskan suasana tidak harmoni. – 13 Ogos, 2020.