Samanlah supaya saya boleh tayang video ‘aiskrim Azmin’
Iklan
KETUA Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos mendakwa menerima “bukti baru” berbentuk sebuah video berdurasi 17 minit melibatkan Menteri Besar Selangor Azmin Ali.
Jamal sekali lagi mencabar timbalan presiden PKR itu untuk membuat laporan polis sekiranya merasakan dirinya difitnah supaya Jamal boleh menayangkan video itu kepada orang ramai.
“Hari ini juga saya mencabar Azmin Ali untuk membuat sekali lagi penafian terhadap gambar beliau. Inikah sifat menteri besar Selangor? Apa yang MB Selangor buat dalam jamban ini? Walaupun dia dah nafikan, saya minta dia buat report polis terhadap saya. Katalah saya fitnah beliau.
“Saya baru mendapat video sebenarnya tentang gambar ini.
“Video selama 17 minit di dalam tanda dan apartmen tersebut. Saya tidak mahu mengaibkan beliau, tetapi sampai waktu dan ketikanya saya akan mendedahkan video tersebut untuk ditontoni dalam skrin LED yang besar di tempat yang akan saya beritahu kelak,” kata beliau selepas memberi 2,000 aiskrim pelbagai perasa kepada pengunjung Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Ini kali kedua beliau membawa tong aiskrim yang memaparkan gambar dua individu, salah seorangnya didakwa Jamal sebagai Azmin.
Slogan “Aiskrim Azmin, sekali rasa pasti nak lagi” tercetak di bahagian atas tong tersebut sementara di bahagian bawahnya tertulis “Selangorku Frozen Forest”.
Ketika melancarkan kempen itu 9 Oktober lalu, Jamal berkata gambar itu diambil daripada media sosial dan Azmin memang tiada hak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.
“Kalau dia saman maknanya betullah itu gambar Azmin, sebab saya ambil pun dari media sosial,” katanya.
Gambar itu dipercayai sebuah “screen shot” yang diambil daripada video seks yang tular pada 2014, video itu memaparkan seorang lelaki yang didakwa Azmin dan wanita berkulit cerah tidak dikenali.
Jamal sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight beliau telah mendapat “lampu hijau” untuk bertanding di Bukit Antarabangsa menentang Azmin.
Beliau turut yakin akan menjadi “menteri besar lebih baik daripada Azmin.”
Tindakan Jamal ini adalah yang terbaru selepas pagi tadi membawa kadbod gambar Zaid Ibrahim dan menawarkan peluang kepada orang ramai memukul bekas menteri itu dengan tukul besi susulan kenyataan didakwa menghina Sultan Selangor.
Rabu lalu, Jamal turut membakar kadbod gambar Zaid.
Beliau turut muncul bersama adik Azmin, Azwan Ali pada hari sama bertekad untuk berkempen menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan di negeri terkaya di Malaysia itu. – 8 Disember, 2017.