Polis Sarawak tahan lelaki dalang jual organ manusia
Iklan
POLIS Sarawak menahan seorang lelaki berumur 48 tahun disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan organ manusia secara haram, hari ini.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dev Kumar M Sree berkata, lelaki itu yang menawarkan penjualan buah pinggang secara haram untuk warga Britain menyerah diri pada jam 1.45 tengah hari tadi.
“Lelaki ini akan direman pagi esok untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Polis Sarawak memburu lelaki itu selepas pendedahan dibuat seorang wartawan The Sun berpangkalan di United Kingdom yang menyamar sebagai bakal pembeli untuk berjumpa dengan suspek di sebuah hotel di Kuching.
Suspek yang dilaporkan The Sun sebagai bapa empat anak dan menggunakan nama Shaifullizan Abdul Mutalib menjual buah pinggang dengan pakej pelancongan transplan berjumlah £85,000 (RM466,440) secara haram khas untuk warga Britain.
Bayaran pakej pelancongan transplan itu termasuklah “duit bawah meja” supaya pembedahan pemindahan organ boleh dilakukan di sebuah klinik di Manila, Filipina.
Wartawan The Sun itu berjaya merakam imej Shaifullizan menggunakan kamera tersembunyi dan lelaki itu didengar berkata “Di Manila, wang tunai adalah raja”.
Laporan menyebut yang Shaifullizan adalah dalang kegiatan itu dan sehingga kini sudah berjaya menjual 45 buah pinggang secara haram.
Buah pinggang tersebut diperolehi daripada mangsa miskin seluruh dunia yang terdesak mendapatkan duit dengan menjual organ mereka, suspek dan mangsa berhubung menggunakan Facebook.
Dalam rakaman video itu, suspek juga mengesahkan mempunyai hubungan pemerdagangan organ antarabangsa yang mengambil organ minoriti Muslim Uighur yang tertindas di China.
Lelaki warga Malaysia itu yang tidak ada latar belakang perubatan turut mendakwa mempunyai senarai lebih 100 penjual buah pinggang di seluruh dunia yang diperolehinya melalui perhubungan di Facebook.
Dakwanya lagi, sekurang-kurangnya lima warga Britain turut menawarkan organ mereka untuk dijual melalui Facebook.
“Mereka semua serius, tidak ada yang ingin menjual buah pinggang mereka jika tidak ada masalah kewangan,” kata suspek dalam video rakaman itu. – 13 Ogos, 2020.