Iklan

8 penguat kuasa MBSA kini ditahan kes makan suap

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago14th Aug 2020Berita
Macc sprm tmikamal 03
Minggu lalu, SPRM menahan enam individu melibatkan lima orang penguat kuasa MBSA dan seorang peniaga rokok warga asing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2020.
Iklan

TIGA lagi dicekup, menjadikan lapan orang penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kini ditahan berkaitan kes menerima suapan bagi melindungi perniagaan haram di Sungai Buloh.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiga yang ditahan itu dari MBSA Cawangan Sungai Buloh

Ia hasil siasatan yang mendapati rangkaian sindiket di kalangan anggota penguat kuasa itu mengutip wang rasuah secara bulanan bagi melindungi premis berkenaan, termasuk pusat judi.

“Tiga lelaki itu berusia 40 hingga 43 tahun ditahan kira-kira jam 2.00 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya,” kata sumber.

Menurut sumber, wang perlindungan ini seolah-olah menjadi suatu budaya di kalangan penguat kuasa sehingga menyebabkan peniaga termasuk premis judi tidak takut kepada penguatkuasaan.

Katanya, ketiga-tiga anggota penguat kuasa itu akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini untuk permohonan reman.

Enam yang sudahpun ditahan dalam operasi terdahulu minggu ini melibatkan lima orang penguat kuasa MBSA dan seorang peniaga rokok warga asing.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut tetapi enggan mengulas lanjut.

Operasi itu hasil pendedahkan seorang penjual burger mengenai tindakan terpilih penguat kuasa MBSA ke atas penjaja di kawasan tersebut.

Peniaga itu mendakwa, rasuah itu membolehkan pendatang asing bebas membuka gerai secara haram menjual rokok seludup, sedangkan gerai burgernya dirobohkan penguat kuasa.

Menurut agensi antirasuah, anggota penguat kuasa MBSA yang disiasat dalam kes berkenaan didapati mengutup antara RM300 hingga RM3,500 sebulan untuk melindungi perniagaan haram.

Peniaga burger tersebut juga mendakwa terdapat kegiatan judi haram di kawasan tersebut. Tuduhan itu bagaimanapun dinafikan polis. – 14 Ogos, 2020.

Iklan
Iklan