Iklan

Lebih 44,000 kena tindakan berkaitan PKP, kata Bukit Aman

Kalidevi Mogan Kumarappa4 years ago14th Aug 2020Berita
Mcp
Polis tahan lebih 27,500 individu dan keluarkan 16,900 kompaun atas pelbagai kesalahan pelanggaran prosedur PKP sehingga 12 Ogos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2020.
Iklan

POLIS menahan lebih 27,500 individu dan mengeluarkan 16,900 kompaun atas pelbagai kesalahan pelanggaran prosedur Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 12 Ogos, menurut Bukit Aman.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Mior Faridalathrash Wahid memberitahu The Malaysian Insight ia meliputi pelbagai kesalahan.

Antaranya termasuk kesalahan tidak mematuhi jarak fizikal, perhimpunan besar, melanggar sekatan jalan dan membenarkan lebih 20 orang di pengebumian dan menjalankan operasi kedai gunting serta salun.

“Sehingga 12 Ogos, seramai 27,581 orang ditahan atas pelbagai kesalahan pelanggaran SOP dan daripada jumlah itu seramai 21,724 dituduh di mahkamah dan dikenakan pelbagai hukuman yang diputuskan majistret.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,246 kes tidak diteruskan selepas diarahkan untuk berbuat demikian oleh pejabat peguam negara, 3,163 orang direman dam 1,448 diberi jaminan polis,” katanya.

Jelasnya, penguatkuasaan bagi kes melanggar PKP itu mengikut dua undang-undang, salah satunya Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Satu lagi undang-undang ialah Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti (No. 4) Peraturan 2020.

Tambahnya, sebanyak 16,900 kompaun itu juga meliputi 221 yang dikeluarkan dari 1 hingga 11 Ogos atas kesalahan tidak memakai pelitup muka.

“Secara keseluruhan, seramai 44,481 yang diambil tindakan termasuk tangkapan dan kompaun.

“Tindakan ini juga termasuk yang diambil terhadap orang kenamaan atau pemimpin politik. Tiada sesiapa yang terlepas dari tindakan undang-undang malah beberapa pemimpin kerajaan dalam siasatan atas pelanggaran SOP,” katanya.

Anak kepada bekas timbalan perdana menteri, Nurulhidayah Ahmad Zahid serta suami turut didakwa kerana melanggar PKP dan dikenakan denda RM800 oleh majistret. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2020.

Antara kes yang menjadi tumpuan melibatkan Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak Razman Zakaria yang mengaku salah kerana melanggar PKP.

Kedua-duanya dirakam menjamu selera bersama 30 yang lain di sebuah sekolah tahfiz di Perak sewaktu PKP dikuatkuasa.

Kedua-duanya didakwa bersama 13 yang lain dan dikenakan denda maksimum RM1,000 setiap individu.

Satu lagi kes yang turut menjadi tumpuan melibatkan anak kepada bekas timbalan perdana menteri, Nurulhidayah Ahmad Zahid serta suami yang turut didakwa kerana melanggar PKP.

Kedua-duanya dikenakan denda RM800 oleh majistret kerana melanggar PKP.

Mengulas kes tersebut, Mior berkata kes yang ditangani polis bukan hanya melibatkan pelanggaran PKP mengikut undang-undang kawalan penyakit tetapi juga undang-undang lain.

Oleh itu polis tidak harus dituduh pilih kasih dalam mengkuatkuasa undang-undang ke atas orang awam dan orang kenamaan, katanya.

“Kesalahan lain ada pernah sebut ramai dipenjara bukan sebab kesalahan PKP semata-mata tetapi kesalahan lain di bawah Kanun Keseksaan. Contoh ditangkap (kerana) halang petugas penjawat awam.

“Ada yang rasis, gaduh dengan polis, lawan polis dan halang penjawat awam, langgar sekatan jalan raya sampai anggota polis patah kaki dan lain-lain.

“Bermakna dipenjarakan bukan hanya sebab (ingkar) PKP, langgar SOP tapi kesalahan lain melibatkan Kanun Keseksaan.

“Itu sebab hukuman berbeza, bukan kerana ada dua darjat yang cuba digambarkan ramai di luar sana,” katanya. – 14 Ogos, 2020.

Iklan
Iklan