Pengarah MBSA pula ditahan kes lindungi judi haram
Iklan
SEORANG pengarah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pegawai paling kanan yang ditahan setakat ini dalam siri tangkapan melibatkan kes melindungi perniagaan dan judi haram.
Agensi antirasuah mengesahkan pengarah berusia 59 tahun itu ditahan ketika disiasat di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada jam 10 pagi ini.
Menurut sumber, pegawai tersebut akan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan ini tetapi enggan mengulas lanjut.
Ia menjadikan jumlah pegawai MBSA yang ditahan kini sembilan orang.
Tiga orang ditahan semalam dan lima lagi dalam operasi terdahulu minggu ini, selain seorang peniaga warga asing.
Operasi itu hasil pendedahan seorang penjual burger mengenai tindakan terpilih penguatkuasa MBSA ke atas penjaja di kawasan Sungai Buloh.
Peniaga itu mendakwa, rasuah itu membolehkan pendatang asing bebas membuka gerai secara haram menjual rokok seludup, sedangkan gerai burgernya dirobohkan penguatkuasa.
Menurut agensi antirasuah, anggota penguatkuasa MBSA yang disiasat dalam kes berkenaan didapati mengutup antara RM300 hingga RM3,500 sebulan untuk melindungi perniagaan haram.
Peniaga burger tersebut juga mendakwa terdapat kegiatan judi haram di kawasan tersebut. Tuduhan itu bagaimanapun dinafikan polis. – 14 Ogos, 2020.