Iklan

Langgar SOP punca Kluster Tawar, kata KP Kesihatan

Noel AchariamElill Easwaran4 years ago18th Aug 2020Berita
50197192942 178078eab0 b
Punca meledaknya dua kluster di Kedah adalah kerana pelanggaran SOP. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Ogos, 2020.
Iklan

KEMENTERIAN Kesihatan masih menyiasat punca meledaknya wabak Covid-19 dalam Kluster Tawar dan Sala, tetapi yang jelas prosedur operasi standard (SOP) tidak dipatuhi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Jelasnya, berdasarkan maklumat semasa, jangkitan dua kluster di Kedah itu berlaku disebabkan beberapa faktor.

“Penularan jangkitan dalam Kluster Tawar didapati disumbangkan oleh perhimpunan dalam kalangan ahli keluarga yang tidak patuh sepenuhnya SOP.

“Misalnya, jumlah tetamu dalam kluster itu tidak mematuhi saiz premis dan tidak ada penjarakan sosial.

“Ini menyebabkan virus merebak,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini, menambah yang punca jangkitan kes indeks masih dalam siasatan.

Kluster Tawar bermula dengan seorang warga Malaysia yang hadir majlis pengebumian ahli keluarganya pada 31 Julai dan 1 Ogos lalu.

Kluster itu melaporkan satu kes baharu Covid-19 hari ini, menjadikan sebanyak 47 kes positif di seluruh Kedah dan Pulau Pinang berkaitan dengannya. Setakat ini, 1,490 orang sudah disaring.

Kes indeks Kluster Sala pula ada sejarah melawat pesakit di hospital dengan ahli keluarganya.

“Semua ahli keluarga yang pergi bersama kes indeks untuk melawat pesakit itu diuji positif,” katanya.

Kluster itu yang juga merebak di seluruh Kedah dan Pulau Pinang melaporkan dua kes baharu hari ini, menjadikan lapan kes berkaitan dengannya. Setakat ini 635 orang sudah disaring.

Dr Noor Hisham berkata virus itu kemudiannya merebak kepada kontak rapat kes indeks dan ahli keluarganya yang melawat hospital.

“Kami bimbang yang lawatan ke hospital mungkin menyumbang kepada penularan jangkitan.”

Tambahnya, penularan jangkitan boleh dikawal sekiranya kes terbabit mematuhi SOP kesihatan dengan mengelak perhimpunan ramai, manakala perbualan masih boleh dilakukan tetapi ia tidak boleh dilakukan dalam jarak dekat. – 18 Ogos, 2020.

Iklan
Iklan