Bersatu tersepit antara Umno dan Dr Mahathir
Iklan
BERSATU diterajui Muhyiddin Yassin kini tersepit antara Umno dan bekas pengasas dan pengerusinya Dr Mahathir Mohamad, kata penganalisis.
Mereka berkata parti itu berdepan risiko kehilangan ahli selepas Dr Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharunya, Pejuang, dan pada masa sama Umno, sekutunya dalam kerajaan Perikatan Nasional terus-terusan memperlekehnya.
Walaupun Muhyiddin kini menikmati populariti kerana kejayaan pentadbirannya menguatkuasa perintah kawalan pergerakan dan langkah pemulihan ekonomi bagi menangani kesan Covid-19, pergerakan keluar ahli partinya dan kekurangan kepercayaan Umno melemahkan Bersatu, kata penganalisis lagi.
Penganalisis politik Mazlan Ali berkata walaupun Bersatu sudah memecat Dr Mahathir, bayang bekas perdana menteri itu terus menghantui parti itu.
Beliau menegaskan siri keluar beramai-ramai ahli akar umbi Bersatu untuk menyertai Pejuang boleh jadi petunjuk yang walaupun kepimpinan tinggi menyokong Muhyiddin, ahli akar umbi dan jentera tidak memihak kepadanya.
Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia itu memberitahu The Malaysian Insight yang pergerakan keluar ahli memberi imej buruk Bersatu kepada sekutunya, yang boleh mencetuskan cabaran besar kepada hubungannya dengan Umno yang dominan.
Malah, sebelum Bersatu menyuarakan hasrat menyertai kerjasama Muafakat Nasional lagi, parti itu sudah dikecam hebat pelbagai tokoh Umno berkaitan tuntutan pembahagian kerusi untuk pilihan raya akan datang.
Kini, Bersatu jadi sasaran Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang berkata keputusan sama ada Muafakat Nasional akan menerima parti itu bergantung kepada sumbangannya kepada calon Umno-Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil Slim yang sedang berlangsung.
Ketika melancarkan jentera pilihan raya Pemuda BN beberapa hari lalu, beliau menyatakan hasrat mahu melihat 6,000 undi diterima Bersatu pada pilihan raya 2018 akan beralih kepada calon BN pada pengundian 29 Ogos ini.
“Kalau tidak dapat 8,000 atau 6,000 undi, kita harus tanya, apa nilai perkongsian politik dengan mereka,” kata Zahid.
Mazlan berkata pilihan diberi Zahid boleh dianggap mustahil dicapai Bersatu dan menunjukkan bagaimana Umno sebenarnya pandang rendah kepada parti itu.
Ia juga membayangkan kesukaran yang bakal dihadapi Bersatu dalam rundingan pembahagian kerusi.
“Untuk pertahankan kerusi yang dipegangnya pada PRU14 pun akan susah.”
Sekutu kuat Umno dalam Muafakat Nasional, PAS, pula tiada bantahan untuk kemasukan Bersatu kerana mereka tidak akan rugi apa-apa, tambah Mazlan.
Bersatu yang merupakan parti serpihan Umno bertanding di banyak kerusi Melayu pada PRU14 melawan Umno-BN. Selepas BN kalah di Putrajaya, ramai pemimpin Umno keluar untuk masuk Bersatu.
Pemerhati politik Kenneth Cheng daripada Persatuan Agora yang memperjuangkan prinsip demokrasi dan tadbir urus baik pula berkata, kelakuan Umno terhadap Bersatu pada PRK Slim boleh dianggap angkuh dan memandang rendah Bersatu.
Malah ahli akar umbi Umno sendiri merasakan Bersatu tidak mampu menyumbang apa-apa kepada dunia politik mereka.
Ramai beranggapan Umno mampu mempertahankan kerusinya sendiri tanpa pertolongan Bersatu.
Cheng berkata beliau tidak fikir harapan Muhyiddin untuk Bersatu menyertai Muafakat Nasional akan berjalan lancar.
Lebih baik untuk Bersatu diserap masuk Umno seperti cadangan beberapa pemimpin dan ahli Umno, walaupun ia bermaksud akan memalukan Bersatu dan Muhyiddin.
Kata Cheng lagi, ujian terbesar akan berlaku apabila Bersatu dan Umno melakukan rundingan bahagi kerusi.
“Ketika itu kita akan tengok apa jadi antara mereka.” – 20 Ogos, 2020.