Iklan

Kenapa menteri tak kuarantin boleh lepas, soal Teresa Kok

Elill Easwaran4 years ago19th Aug 2020Berita
Teresa kok tmikamal 03
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata MKN tidak boleh mengamalkan dwistandard dalam menguatkuasakan undang-undang bagi mereka yang ingkar kuarantin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2020.
Iklan

MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi Mohd Khairuddin Aman Razali mesti didenda kerana tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari Turki, kata Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok.

Beliau berkata Majlis Keselamatan Negara tidak boleh mengamalkan dwistandard dalam menguatkuasakan undang-undang bagi mereka yang ingkar kuarantin, sebaliknya mengambil tindakan terhadap Khairuddin.

Khairuddin dilaporkan tidak menjalani kuarantin selepas diuji negatif Covid-19 selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu. Menteri itu hadir sidang Dewan Rakyat pada 13 Julai.

“Ramai rakyat Malaysia dan warga asing yang pulang dari luar negara negatif Covid-19, masih diminta menjalani kuarantin selama 14 hari. 

“Kenapakah layanan istimewa diberi kepada menteri Kabinet yang pulang dari luar negara ini?” kata Kok dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas menteri industri utama itu memberi contoh seorang wanita berusia 72 tahun yang dipenjara sehari dan denda RM8,000 kerana ingkar arahan kuarantin, tetapi tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap Khairuddin.

Menurutnya lagi, pembantu Khairuddin memberitahu pemberita Turki adalah zon hijau, bermakna bebas daripada Covid-19. Bagaimamanapun, statistik menunjukkan sebaliknya, kata Kok.

Berdasarkan laman web worldometers.info, sebanyak 186,089 kes aktif Covid-19 dilaporkan di Turki setakat 6 Julai.

Khairuddin tiba di Malaysia dari Turki pada 7 Julai.

Kok berkata kehadiran menteri itu di Parlimen serta majlis dan mensyuarat lain telah mendedahkan ramai orang kepada risiko jangkitan Covid-19.

Semua warga asing dan rakyat Malaysia perlu menjalani ujian saringan sebaik tiba dari luar negara dan kuarantin diri semalam 14 hari jika diuji negatif. Individu yang didapati positif Covid-19 akan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Pesalah yang ingkar kuarantin boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan denda, atau kedua-duanya sekali. – 19 Ogos, 2020.

Iklan
Iklan