Rayhan akan dihantar pulang selepas ujian Covid-19 selesai
Iklan
WARGA Bangladesh Md Rayhan Kabir yang mengkritik kerajaan Malaysia menerusi dokumentari Al Jazeera berjudul Locked Up in Malaysia’s Lockdown akan dihantar pulang sebaik sahaja ujian saringan Covid-19 selesai dan tiket penerbangannya siap.
Peguamnya hari ini berkata, pihak berkuasa Malaysia membuat keputusan untuk tidak memfailkan pendakwaan terhadap anak guamnya, yang masih direman sehingga hari ini.
“Jabatan Imigresen membuat keputusan untuk hantar Rayhan pulang. Tiada pendakwaan difailkan terhadapnya,” kata peguam Sumitha Shaanthinni Kishna.
“Dia akan dihantar pulang sebaik sahaj ujian Covid-19 selesai dan tiket penerbangannya siap.”
Rayhan turut diwakili peguam C. Selvaraja.
Rayhan, 27, ditahan pada 24 Julai lalu susulan penyiaran dokumentari berkenaan yang mana beliau mendakwa wujud diskriminasi dalam mengendali kes Covid-19 membabitkan warga asing.
Selepas ditahan selama 14 hari, beliau kemudian direman 13 hari untuk membantu siasatan terhadap dakwaan tinggal melebihi tempoh di negara ini.
Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata Rayhan akan dihantar pulang ke Bangladesh sebaik siasatan selesai dan ia dijangka seawal 31 Ogos. – 19 Ogos, 2020.