Mukhriz yakin peluang Pejuang di PRK Slim
Iklan
PARTI baharu Pejuang dapat memberikan saingan kepada Barisan Nasional dalam Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Slim, kata Mukhriz Mahathir ketika berkempen hari ini.
“Walaupun kami belum mendaftarkan Pejuang secara rasmi, kami sudah menerima banyak pertanyaan daripada mereka yang mahu bergabung dengan parti itu,” kata bekas timbalan presiden Bersatu di Felda Gunung Besout 1.
Mukhriz yang akan menjadi presiden Pejuang berkata demikian ketika meraih sokongan dari rumah ke rumah bersama calon Pejuang Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.
Bekas menteri besar Kedah itu ditanya mengenai peluang Pejuang dalam PRK berkenaan.
Parti itu baru diumumkan lebih seminggu lalu dan memperkenalkan logo ketika menyerahkan permohonan pendaftarannya dua hari lalu.
“Peluang kami kelihatan lebih baik minggu ini dari ketika kami pertama kali berkempen minggu lalu.
“Orang mula memerhatikan calon kita, Amir yang disokong oleh Dr Mahathir Mohamad, yang bermaksud kita harus bekerja lebih keras untuk memberi impak yang lebih besar,” katanya.
Turut turun berkempen bersamanya selain Amir adalah bekas ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Tg Malim Chang Lih Kang.
Bekas perdana menteri Pakatan Harapan Dr Mahathir membentuk Pejuang setelah beliau, Mukhriz dan ahli Parlimen lain dipecat dari Bersatu kerana tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional presiden Muhyiddin Yassin.
PRK Slim akan diadakan pada 29 Ogos. Kerusi DUN di Perak itu dikosongkan berikutan kematian penyandangnya Mohd Kushairi Abdul Talib, 59, dari BN pada 15 Julai.
Amir, 38, bertanding sebagai calon bebas kerana parti Pejuang belum didaftarkan.
Dia akan berdepan calon BN, Mohd Zaidi Aziz, 43, dan seorang lagi calon bebas, S Sentharasekaran, 44. – 21 Ogos, 2020.