Iklan

Muhyiddin miliki kelebihan dalam perebutan kuasa dengan Umno, kata penganalisis

Bernard Saw4 years ago22nd Aug 2020Berita
muhyiddin yassin
Muhyiddin Yassin masih boleh menghalang pengaruh Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional dengan membubarkan Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2020.
Iklan

MUHYIDDIN Yassin ada kelebihan untuk menamatkan tekanan dan ancaman berterusan daripada pemimpin Umno dengan mendapatkan sokongan bekas sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH), kata penganalisis.

Mereka berkata dengan perselisihan antara Bersatu dan Umno yang nampaknya semakin buruk, Muhyiddin masih boleh menghalang pengaruh Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan membubarkan Dewan Rakyat.

Pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia Mazlan Ali berkata dengan PN dan PH di belakangnya, Bersatu tidak memerlukan puak ahli Parlimen Umno yang diketuai oleh presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.

“Muhyiddin boleh melakukannya (membentuk kerajaan gabungan baharu) sekarang; situasi dihadapi beliau lebih baik berbanding Dr Mahathir Mohamad (pada Februari). Beliau sudah membentuk kerajaan, sekarang apa yang diperlukan hanyalah beberapa sokongan dari luar.

“Sebagai contoh, jika 30 ahli Parlimen PKR menyokongnya bersama 10 daripada Amanah dan 10 daripada DAP, Muhyiddin akan mendapat 50 undi tambahan, yang bahkan boleh menambah majoriti dua pertiga,” kata Mazlan, sambil menambah yang Warisan adalah sekutu lain yang berpotensi kepada perdana menteri.

Ini dengan anggapan Muhyiddin juga dapat meyakinkan ahli Parlimen Umno untuk tetap berada di pihaknya.

Mazlan berkata, kerajaan gabungan besar yang terdiri sokongan daripada banyak pihak adalah jalan terbaik bagi Muhyiddin untuk memastikan pentadbiran yang stabil.

Pensyarah itu berkata ahli Parlimen Sabah dan Sarawak lebih cenderung menyokong kerajaan gabungan besar berbanding PAS dan Umno yang mendapat lebih banyak kelebihan daripada status quo.

Sokongan ahli Parlimen Malaysia Timur akan memberikan perdana menteri kuasa tawar menawar, tambahnya.

“Jika perdana menteri membiarkan keadaan sekarang berlanjutan, Umno akan terus menekan dan membulinya.” 

Pensyarah kanan UTM Mazlan Ali berkata kerajaan gabungan besar dengan sokongan daripada banyak pihak adalah jalan terbaik bagi Muhyiddin Yassin untuk memastikan pentadbiran yang stabil. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2020.

Perpecahan dalam Umno

Ketika ditanya sama ada Umno akan menentang kerajaan gabungan seperti itu, Mazlan berkata pada masa ini terdapat banyak puak dalam Umno, termasuk yang dipimpin oleh Najib, Zahid dan bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin.

“Mereka yang tidak menentangnya (kerajaan gabungan) akan menyokong rancangan itu, dan tidak semua dalam Umno akan menentangnya, akan menyebabkan perpecahan dalam parti,” katanya, sambil menambah itu juga akan membolehkan Muhyiddin mengukuhkan kedudukannya.

Mazlan berkata terdapat peluang baik bagi Muhyiddin untuk menjayakannya kerana tidak semua dalam Umno berada menyokong Zahid atau Najib.

“Sebagai contoh, jika separuh daripada Umno menarik sokongan kepada kerajaan, separuh lagi akan tetap menyokong Muhyiddin. Kemudian kekurangan itu boleh diatasi dengan ahli Parlimen lain yang bersedia menyokong perdana menteri.

“Ini akan memberi kelebihan kepada Muhyiddin kerana beliau boleh menyebabkan Umno pecah belah,” katanya.

Ditanya mengenai permusuhan antara Dr Mahathir dan Muhyiddin disebabkan “pengkhianatan”, Mazlan berkata Muhyiddin boleh mengabaikan sahaja parti Pejuang bekas perdana menteri kerana ia tidak mempunyai banyak ahli Parlimen.

“Walaupun Dr Mahathir bergabung dengan PN, tidak mungkin Muhyiddin akan memberikannya jawatan perdana menteri lagi,” katanya. – 22 Ogos, 2020.

Berita penuh di sini

Iklan
Iklan