Iklan

Umno perlu bertanggungjawab skandal semasa pemerintahan Najib, kata Mukhriz

Elill Easwaran4 years ago22nd Aug 2020Berita
By-election slim ceramah pejuang20200821 hasnoor 008
Mukhriz Mahathir berkasa Umno tidak boleh dimaafkan kerana Najib Razak melakukan kesalahan ketika beliau menjadi perdana menteri dan presiden parti itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 Ogos, 2020.
Iklan

SABITAN bersalah Najib Razak tidak bermaksud Umno bebas daripada tanggungjawab berhubung perkara yang dilakukan beliau semasa menjadi perdana menteri, kata Mukhriz Mahathir.

Katanya, Umno harus ingat persoalan dibangkitkan ketika skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah semasa Najib dan Barisan Nasional (BN) berkuasa.

“Umno tidak boleh dimaafkan kerana Najib melakukan kesalahan ketika beliau menjadi perdana menteri dan presiden parti,” kata Mukhriz semasa ceramah di Felda Trolak Utara malam tadi ketika berkempen untuk pilihan raya kecil (PRK) Slim malam tadi.

Bulan lalu, Najib didapati bersalah kerana rasuah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta kerana menerima RM42 juta daripada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Mukhriz, yang merupakan bekas menteri besar Kedah, berkata Najib sekarang menunjukkan kepada generasi muda agar tidak perlu malu terhadap apa yang dilakukannya dengan kempen “Malu Apa Bosku”.

“Pada masa ini, kita lihat kanak-kanak ke mana-mana memakai t-shirt ‘Malu, apa bosku’. Tetapi apakah beliau betul tiada rasa malu dengan apa yang lakukan?” soal Mukhriz.

Semasa ceramahnya, Mukhriz menjelaskan kepada pengundi Felda alasan di sebalik parti baharu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad - Pejuang.

Katanya, satu daripada cita-citanya adalah untuk menunjukkan kepada dunia yang orang Melayu mampu mentadbir sebuah negara yang berbilang kaum.

“Dan yang bebas daripada rasuah.”

Mukhriz berkata, Dr Mahathir tidak menerima tawaran menjadi perdana menteri di bawah kerajaan Perikatan Nasional sekarang kerana akan mengkhianati pengundi yang mengundi Pakatan Harapan sebagai kerajaan.

Antara lain yang berucap pada ceramah malam tadi adalah bekas menteri pendidikan Maszlee Malik, Senator Yaakob Sapari dan Adun Taman Templer Selangor, Mohd Sany Hamzan.

Walaupun Pejuang masih belum didaftarkan sebagai parti, ia menyokong Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, sebagai calon bebas dalam pilihan raya kecil.

Amir akan menentang Mohd Zaidi Aziz, 43, dan seorang lagi calon bebas, S. Sentharasekaran, 44.

Pengundian untuk pilihan raya kecil diadakan pada 29 Ogos.

Kerusi DUN Slim kosong berikutan kematian Adun empat penggalnya daripada BN Mohd Khusairi Abdul Talib, yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 1 Julai. – 22 Ogos, 2020.

Iklan
Iklan