Iklan

KKM tentukan tindakan terhadap menteri langgar SOP kuarantin, kata Ismail Sabri

Elill Easwaran4 years ago22nd Aug 2020Berita
By-election slim ismail sabri 20200822 hasnoor 012
KKM akan putuskan tindakan yang akan diambil terhadap Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi  Mohd Khairuddin Aman Razali selepas siasatan selesai, kata Ismail Sabri Yaakob. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 22 Ogos, 2020.
Iklan

KEMENTERIAN Kesihatan putuskan tindakan yang akan diambil terhadap Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi  Mohd Khairuddin Aman Razali selepas siasatan selesai, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri pertahanan itu mengulas kemarahan pengguna media sosial yang mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap Khairuddin yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Khairuddin didakwa melanggar perintah kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari Turki bulan lepas.

Mengikut SOP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), seseorang yang baru pulang dari luar negara dikehendaki menjalani kuarantin wajib  selama 14 hari. Individu akan disaring sebaik tiba di pintu masuk antarabangsa negara, dan ujian kali kedua selepas 14 hari.

Menteri itu mendakwa beliau menjalani tiga kali ujian Covid-19, iaitu sebaik tiba dari Turki pada 7 Julai, kali kedua pada 20 Julai, dan kali terakhir baru-baru ini sebelum menghadiri majlis di Istana Negara pada 17 Ogos.

“Keputusan berhubung menteri tersebut bukan saya yang tentukan, tetapi Kementerian Kesihatan,” kata Ismail Sabri.

“Perlukan sedikit masa kerana siasatan masih berjalan.”

Individu yang melanggar SOP kuarantin wajib boleh penjara tidak lebih dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali. – 22 Ogos, 2020.

Iklan
Iklan