Pucuk pimpinan tak dicabar, Umno sedia hadapi PRU14
Iklan
PRESIDEN Umno Najib Razak berkata parti itu kini sedia menghadapi pilihan raya umum apabila kedudukan beliau serta dua pemimpin parti itu dimuktamadkan tanpa pertandingan dalam pemilihan parti akan datang.
Dalam ucapannya ketika menutup persidangan Perhimpunan Agung Umno (PAU) Ke-71 hari ini, Najib dengan senang hati berkata, kesinambungan kepimpinan itu akan menjamin kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kelak.
“Kita sudah bersedia sepenuhnya dan soal pokok penting dah selesai sepenuhnya. Secara muktamad. Soal kepimpinan selesai. Pemimpin nombor satu, dua dan tiga selesai sepenuhnya,” kata Najib dalam ucapannya.
Kenyataan itu merujuk kepada usul khas agar kedudukan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.
Usul agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti tahun depan diterima sebulat suara para perwakilan semalam.
Najib berkata penerimaan usul tersebut langsung tidak diketahui beliau tetapi ia memberi isyarat jelas betapa perwakilan bersedia untuk menjunjung kepimpinan beliau dan sahabat akrabnya, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, pertandingan bagi jawatan lain boleh dianggap isu kecil, yang boleh diselesaikan secara rundingan.
“Soal-soal kecil, sikit itu remeh-temeh, pada kita kecil. Di peringkat bahagian minta pakat-pakat selesaikan dengan syura musyawarah. Tadi kan sudah angkat sumpah (kesetiaan),” kata beliau ketika menutup persidangan terakhir sebelum PRU14 itu.
Najib turut menggunakan peluang berucap semasa perhimpunan agung terakhir partinya bagi penggal Parlimen kali ini untuk mengulangi pencapaian pentadbirannya.
Beliau menyebut mengenai projek pembinaan MRT, Keretapi Laju Pantai Timur (ECRL) serta kejayaan memacu pertumbuhan ekonomi lebih 5% ketika ekonomi dunia sedang bergolak.
Menurut beliau, itulah perkara yang harus diceritakan dan disampaikan oleh ahli Umno di kawasan mereka bagi memadamkan tohmahan dan memberi harapan kepada pengundi atas pagar bagi memastikan kemenangan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Kita dah berjaya besar dalam perjuangan kita. Kita capai banyak kejayaan. Saya yakin bahawa kalau kita sebut bahawa Umno adalah sebahagian dari masa depan,(seperti mana) kata Pemuda. Tetapi masa depan kita kena lalui (dahulu) jambatan atau halangan pertama iaitu PRU14,” katanya.
“PRU14 ini seperti dalam ucapan dasar saya, ia akan tentukan destini (takdir) negara. Pokok pangkal kena berkisar kepada siapa akan pimpin barisan PRU14 nanti,” – 9 Disember, 2017.