Iklan

Zimbabwe pun dah tak ada pemimpin umur 93 tahun, kata Najib

Radzi Razak7 years ago9th Dec 2017Berita
Umno general assembly 091217 tmiseth 03
Dr Mahathir Mohamad, bekas presiden Umno yang kini menyertai pembangkang terus dikecam dalam PAU2017. Terbaru, Presiden Umno Najib Razak mengatakan jika inginkan parti untuk masa depan, jangan ambil ketua dari masa silam merujuk kepada Dr Mahathir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 Disember, 2017.
Iklan

PERDANA Menteri Najib Razak menggunakan kesempatan dalam ucapan penutup di persidangan Perhimpunan Agung Umno Ke-71 hari ini untuk memburuk-burukkan lagi bekas presiden Umno, Dr Mahathir Mohammad.

Berkali-kali dalam ucapannya, Najib memberitahu betapa polisi kepimpinan beliau lebih telus, terbuka dan mesra berbanding Mahathir yang kini memimpin blok pembangkang, Pakatan Harapan {PH).

Najib memberi contoh, Umno Sabah kini boleh berbincang dengan beliau sekiranya tidak berpuas hati dengan soal seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, pengundi juga tidak harus meletakkan kepercayaan kepada Mahathir, yang menurutnya lebih teruk daripada pemimpin dari negara yang mempunyai rekod demokrasi buruk seperti Zimbabwe.

“Ada dengar-dengan orang berumur 93 tahun berminat hendak jadi perdana menteri balik. Usia senja meniti malam. Zimbabwe pun dah tiada pemimpin umur 93 tahun. Takkan hendak letak masa depan negara di antara mereka (pembangkang).

“Zaman dulu siapa yang soal MA63 masuk bawah ISA (tahanan tanpa bicara bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri), tapi zaman saya lebih terbuka dan boleh bincang. 

“Sebab itu saya kata kalau hendak parti untuk masa depan kita tidak boleh ambil ketua dari masa silam. Orang mula kena fikir itu. Tak logik kerana orang zaman silam tidak boleh bawa idea masa depan,” kata Najib lagi.

Beliau mengkritik Mahathir dengan membangkitkan mengenai Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe, 93, yang terpaksa tunduk kepada tekanan politik dan meletak jawatan selepas mentadbir negara di selatan Afrika itu secara kuku besi selama 37 tahun.

Peletakan jawatan Mugabe pada bulan lalu disambut dengan penuh gembira oleh rakyat Zimbabwe yang mengadakan pesta jalanan di seluruh negara itu.

Mahathir pula, 92, mentadbir Malaysia selama 22 tahun dan meletak jawatan perdana menteri pada 2003.

Penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi menang besar dalam pilihan raya umum pada tahun berikutnya tetapi mencatat rekod buruk dalam pilihan raya 2008 sehingga hilang majoriti dua pertiga dan tewas di lima negeri kepada pembangkang. Kritikan Mahathir ke atas Abdullah sedikit sebanyak menyumbang kepada kekalahan tersebut. 

Kini Mahathir mempengerusikan gabungan parti pembangkang PH dan konsisten dalam kritikannya ke atas Najib, terutama berhubung skandal dana pelaburan 1MDB.

Mahathir kembali popular di pentas persidangan Perhimpunan Agung Umno kali ini melalui pelbagai cemuhan dan kecaman daripada pemimpin parti tersebut.

Tidak cukup dengan itu, Umno turut mengadakan pameran karikatur khas sepanjang tempoh persidangan, yang mengejek-ejek dan menyindir bekas pemimpin kesayangan mereka itu selain menunjukkan DAP sebagai “dalang utama” Pakatan Harapan.

Persidangan PAU kali ini adalah yang terakhir sebelum pilihan raya umum dijalankan, selewat-lewatnya Jun.

Iklan
Iklan