Iklan

Perikatan mesti dapatkan mandat baharu, kata Zahid

Chan Kok LeongElill Easwaran4 years ago24th Aug 2020Berita
By-election slim muafakat nasional 20200823 hasnoor 014
Perikatan Nasional perlu dapatkan mandat baharu, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Ogos, 2020.
Iklan

PERIKATAN Nasional mesti mendapatkan mandat baharu dengan memenangi pilihan raya supaya pengkritiknya tidak lagi menggelar gabungan politik kerajaan itu sebagai kerajaan pintu belakang, kata Ahmad Zahid Hamidi.

“Maka mandat baharu harus dicari bagi membuktikan bahawa kerajaan ini yang didukung oleh 12 parti yang berbeza bukan kerajaan yang ditebuk dari atap atau kerajaan pintu belakang. InsyaAllah kita akan dapat mandat baru dalam PRU yang ke-15 nanti,” kata presiden Umno itu ketika ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim malam tadi. 

Ini adalah kali pertama Zahid menggesa Perikatan untuk mendapatkan mandat baharu selepas gesaan serupa disuarakan pemimpin Umno lain termasuk Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Khairy Jamaluddin. 

Naib Presiden Umno Khaled Nordin malah mendesak partinya menamakan calon perdana menteri baharu apabila PRU15 diadakan, menunjukkan sokongan Umno terhadap Muhyiddin Yassin tidak sepakat.

Zahid, bagaimanapun, tidak memberikan tarikh bilakah PN membubarkan Parlimen untuk PRU15.

“Untuk itu manifestasi daripada Pilihan Raya Kecil Slim ini adalah sebagai asas untuk kita melihat bagaimana trend kepada sokongan dan dukungan pengundi,” kata Zahid, yang mengadakan sesi ceramah pertamanya di Slim bersama-sama Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Zahid berkata kerajaan tidak mempunyai manifesto kerana ia tidak menang berdasarkan manifesto.

“Tetapi InsyaAllah manifesto dan akujanji yang akan kita hidangkan kepada rakyat akan berlaku apabila Parlimen dibubarkan dan PRU15 diadakan,” katanya yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Desakan Zahid dikeluarkan ketika Bersatu cuba memuktamadkan pendaftaran PN dengan Pendaftar Persatuan (RoS), walaupun Umno berkata ia tidak akan menyertai gabungan itu.

Semalam, Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata yang lima parti termasuk daripada BN akan menyertai PN, walaupun beliau tidak mendedahkan nama parti berkenaan.

Azmin berkata pengumuman mengenainya akan dibuat Muhyiddin tidak lama lagi.

Antara parti dikhabarkan akan menyertai gabungan itu adalah Bersatu, PAS, MIC dan Star dari Sabah. – 24 Ogos, 2020.

Iklan
Iklan