Iklan

Rakyat fikir kerja bukannya politik, kata Tian Chua 

Bernard Saw4 years ago25th Aug 2020Berita
Tian
Naib Presiden PKR Chua Tian Chang atau Tian Chua menggesa semua pihak agar menumpukan kepada usaha untuk membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2020.
Iklan

RAKYAT Malaysia lebih mengutamakan mata pencarian dan bertahan dalam krisis ekonomi berbanding isu politik yang melanda negara, kata Naib Presiden PKR Chua Tian Chang.

Chua atau lebih dikenali sebagai Tian Chua memberitahu The Malaysian Insight, dengan hanya melaungkan slogan untuk meredakan penyokong tidak akan membantu mereka yang memerlukan. 

Negara akan menyaksikan pilihan raya kecil Slim di Perak hujung minggu ini dan pilihan raya negeri di Sabah bulan depan.

Pilihan raya kecil DUN Slim diadakan susulan kematian penyandangnya Mohd Khusairi Abdul Talib, 59 kerana serangan jantung.

Manakala pilihan raya negeri Sabah pula diadakan selepas pemimpin Warisan Mohd Shafie Apdal dan Musa Aman dari Perikatan Nasional mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan negeri.

Bagi menyelesaikan kemelut itu, Yang Dipertua Sabah Juhar Mahiruddin membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya.

Tian Chua berkata rakyat merasakan politik semakin kucar-kacir dan tiada pemimpin yang mendengar masalah mereka.

“Keutamaan kini adalah untuk membantu rakyat yang berdepan kesusahan,” katanya.

Tian Chua berkata, sekiranya parti politik hanya meminta rakyat datang dan sokong mereka, perkara pertama yang ditanya adalah apa yang kita sudah lakukan untuk mereka.

Beliau berkata rakyat sudah muak dengan isu yang tidak berkesudahan antara parti politik.

Rakyat kini hanya menumpukan kepada usaha untuk menjana pendapatan terutama selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2020.

“Bagi mendapatkan sokongan rakyat, kita perlu bantu mereka ketika mereka sangat memerlukan.”

Salah satu cara katanya, melalui Pertubuhan Daya Masyarakat (DAYA) yang ditubuhkannya untuk membantu rakyat.

Tian Chua berkata menyediakan bantuan kewangan mungkin akan membantu golongan berpendapatan rendah, namun ia hanya langkah sementara yang mana katanya ia sebenarnya tidak menyelesaikan masalah mereka.

Katanya kumpulan berpendapatan sederhana M40 turut berdepan masalah kewangan.

“Selepas moratorium pinjaman berakhir pada September, rakyat bimbang masih bimbang dengan peluang kerja. Jadi kita perlu fokuskan untuk bantu mereka dapatkan pekerjaan,” kata Tian Chua.

Menurut data Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran meningkat 5.3% pada Mei yang mana 826,100 orang dilaporkan hilang pekerjaan.

Ini kerana penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) juga berkata keadaan ekonomi kritikal pada Oktober apabila kebanyakan skim pasca Covid-19 Putrajaya sudah berakhir.

“Kita akan tubuhkan platform digital untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana, dan kita akan gunakan cara ini untuk membantu penganggur mendapatkan pekerjaan,” kata Tian Chua.

Buat masa ini katanya, beliau sedang mengumpulkan maklumat mengenai perniagaan yang mencari pekerja.

Rata-rata rakyat masih lagi bimbang dengan mata pencarian mereka terutama selepas kemelesetan ekonomi berikutan pandemik Covid-19.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2020.

Kemudian, DAYA akan mencari padanan yang sesuai dan memperkenalkan pekerja kepada majikan.

Melihatkan kepada keperluan pasaran semasa, Tian Chua berkata platform ini hanya untuk kerja sementara dan bukannya pekerjaan jangka panjang.

“Pasaran kerja sekarang tidak berapa stabil.”

Beliau berkata banyak syarikat yang mungkin pekerjaan, namun mereka lebih berhati-hati untuk mengambil pekerja jangka panjang.

“Platform baharu ini akan memfokuskan untuk memberi mereka pekerjaan sementara bagi menjana pendapatan.”

Tian Chua percaya bahawa banyak syarikat yang memerlukan pekerja bagi memenuhi prospek mereka, jadi kebanyakan tawaran adalah untuk pekerjaan sementara. 

“Rekabentuk dan aspek lain platform sudah 80% siap dan akan dilancar tidak lama lagi.”

Menurutnya sebaik sahaja ia siap, rakyat boleh mencari pekerjaan menerusi platform ini.

“Kita mahu bina rangkaian pekerjaan. Ini adalah hala tuju kami,” tambahnya. – 25 Ogos, 2020.

Iklan
Iklan